Beli baju raya dalam talian, Selangor tawar baucar RM200

Rodziah (tengah) ketika gimik perasmian Majlis Pelancaran Program Selangor Fesyen Raya Lazada 2021 di SACC Mall, Shah Alam pada Ahad.
Rodziah (tengah) ketika gimik perasmian Majlis Pelancaran Program Selangor Fesyen Raya Lazada 2021 di SACC Mall, Shah Alam pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor akan memberikan baucar jualan dalam bentuk pulangan wang sebanyak RM200 kepada 10,000 pelanggan terawal membeli pakaian hari raya di platform jualan dalam talian, Lazada daripada usahawan yang menyertai program Selangor Fesyen Raya Lazada 2021.

Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar serta Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail berkata, inisiatif tersebut bertujuan merancakkan promosi jualan dalam talian di bawah program yang mendapat kerjasama Selangor Information Technology and Digital Economy Corporation (SIDEC), PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC PKNS) dan Lazada.

Beliau yang merasmikan program tersebut pada Ahad berkata, seramai 200 usahawan Selangor dalam bidang fesyen yang bernaung di bawah platform Bazar Lokal akan dipilih menyertai platform itu yang dijangka bermula pada 13 hingga 27 April ini.

“Selangor Fesyen Raya merupakan inisiatif kerajaan negeri membantu usahawan ke arah digitalisasi perniagaan, sekali gus berpeluang menembusi pasaran lebih luas di samping mempromosikan produk tempatan sempena musim perayaan.

“Selain itu, lebih 1,000 usahawan negeri Selangor turut menerima manfaat daripada program ini,” katanya pada Majlis Pelancaran Program Selangor Fesyen Raya Lazada 2021 di SACC Mall, di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Rodziah berkata, pihak PREC PKNS juga menyediakan fasiliti penting yang diperlukan untuk mempromosikan produk usahawan dalam talian.

Selain itu katanya, daripada promosi secara fizikal dan dalam talian, peniaga juga boleh menggunakan studio yang disediakan untuk membuat video siaran langsung bagi tujuan jualan.

Tambahnya, seramai 20 personaliti media sosial (influencer) akan turut berkolaboratif dengan usahawan bagi membantu mempromosikan barangan jualan mereka secara dalam talian menerusi program siaran langsung (Lazlive) selama 10 hari membabitkan 40 peniaga.

Artikel Berkaitan:

“Ramai yang bimbang untuk berbelanja kerana kes Covid-19 dan perlu mencari platform jualan terbaik untuk membeli produk tempatan.

“Saya yakin, platform ini merupakan medium yang sesuai kerana akan memastikan pelanggan tidak kecewa. Mereka boleh mendapatkan barangan tempatan eksklusif pada harga berpatutan selain rekaan fesyen yang kreatif,” katanya.