X

Kindly register in order to view this article
!

Kartel daging: Pakatan jahat 19 syarikat, pengimport terbongkar

Huzir ketika sidang media berhubung kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah berkaitan penangkapan kartel daging di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada Ahad. Turut kelihatan, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay. (Foto: Facebook Polis Johor)
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Pakatan jahat melibatkan 19 syarikat pengedar daging dengan pengimport daging sejuk beku dari Brazil terbongkar apabila seramai 36 orang suspek ditahan dalam Op Kartel yang dilancarkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah di seluruh negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, dalam operasi khas bermula pada 9 April lalu, polis berjaya menahan semua suspek berusia dari 28 hingga 67 tahun dengan melibatkan 26 lelaki serta 10 perempuan.

Menurutnya, tangkapan itu melibatkan 15 suspek di Johor, tujuh di Pulau Pinang, Kuala Lumpur (7), Selangor (5), Perak (1) dan Kedah (1).

Jumlah tangkapan yang dibuat seluruh negara.
Jumlah tangkapan yang dibuat seluruh negara.

"Hasil siasatan setakat ini mendapati syarikat utama yang terlibat merupakan pengimport daging sejuk beku yang sah dari Brazil. Mengikut permit pengimport, syarikat ini hanya layak untuk mengimport sebanyak 27 tan daging bagi satu permit dikeluarkan. Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati syarikat ini hanya menggunakan empat daripada lima permit pengimport yang dikeluarkan bagi tahun 2020.

"Syarikat itu didapati mengedarkan lebih daripada 1,000 tan kepada 202 pelanggannya yang dibuktikan melalui invois yang dirampas," katanya dalam sidang akhbar khas yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini pada Ahad.

Menurutnya, sebanyak 19 syarikat pengedar yang bekerjasama dengan pengimport utama itu telah berjaya dikesan dan tangkapan melibatkan 7 syarikat di Johor, 4 syarikat di Kuala Lumpur, Selangor (4), Perak (1), Pulau Pinang (2) dan Kedah (1).

Katanya, 19 syarikat tersebut yang merupakan pengedar daging meraih keuntungan tahunan antara RM1juta dan RM52 juta.

"Syarikat pengimport daging itu mendapat bekalan dari Brazil dan turut menerima bekalan daripada syarikat tempatan.

"Bekalan yang diterima akan dibungkus semula sebelum diedarkan kepada pelanggan. Syarikat ini juga didapati telah menempah kotak berlogo halal untuk membungkus semula daging-daging yang diimport dari Brazil dan yang diterima dari syarikat tempatan bagi memenuhi permintaan pelanggan," katanya.

Tambah Huzir, siasatan polis mendapati, kegiatan itu menyebabkan timbulnya isu keraguan status halal terhadap bekalan daging yang ada di pasaran.

Katanya, ia bukan sahaja memberi kesan kepada umat Islam, tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia memandangkan daging-daging yang dibungkus semula juga tidak dapat disahkan tahap kebersihannya dan tidak diperakui oleh pihak veterinar.

Polis giat mengesan Wong Ah Kheong (kiri) dan Tan Siew Huak (kanan).
Polis giat mengesan Wong Ah Kheong (kiri) dan Tan Siew Huak (kanan).

"Polis akan meneruskan siasatan berkaitan isu kartel daging ini dan usaha mengesan dua lagi suspek yang masih bebas iaitu Tan Siew Huak dari Ulu Tiram, Johor dan Wong Ah Kheong dari Kuantan, Pahang masih giat dijalankan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!