Amaran ribut petir di 11 negeri, tiga Wilayah Persekutuan

KUALA LUMPUR - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa kawasan di 11 negeri serta tiga Wilayah Persekutuan hingga jam 6 petang pada Jumaat.
MetMalaysia menerusi kenyataan pada Jumaat memaklumkan cuaca buruk di Semenanjung melibatkan seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan dan keseluruhan negeri Perlis, Terengganu serta Selangor.
Kawasan terjejas di Kedah ialah Bandar Baharu, Kubang Pasu, Padang Terap, Pokok Sena, Pendang, Sik, Kuala Muda, Langkawi, Kulim dan Baling, manakala di Perak melibatkan Kerian, Selama, Larut Matang, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim.
Di Kelantan, amaran itu melibatkan kawasan Gua Musang, Kuala Krai, Jeli, Tanah Merah, Machang dan Pasir Puteh, manakala kawasan yang terjejas di Pahang ialah Pekan, Kuantan, Cameron Highlands, Raub, Bentong, Lipis, Jerantut, Temerloh dan Maran.
Amaran sama turut dikeluarkan di Jelebu, Negeri Sembilan dan Johor melibatkan daerah Kluang, Mersing, Kota Tinggi, Batu Pahat, Kulai, Johor Bahru dan Pontian.
Di Sarawak, keadaan cuaca itu dijangka menjejaskan Samarahan, Mukah (Matu, Dalat dan Mukah), Sibu, Bintulu (Tatau dan Sebauh), Limbang, Miri (Marudi, Telang Usan dan Beluru), Sarikei (Maradong), Kuching (Kuching dan Bau) serta Serian.
Sementara itu, di Sabah amaran melibatkan kawasan pedalaman (Pensiangan, Sipitang, Tenom, Kuala Penyu dan Beaufort), Tawau, Sandakan dan Pantai Barat (Ranau dan Kota Belud). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
