X

Kindly register in order to view this article
!

126 penduduk rayu diberi rumah ganti

Antara warga emas yang hadir pada protes aman di Kampung Peel pada Ahad.
A
A

KUALA LUMPUR - Bagi kami rumah lain, baru kami pindah. Itu antara ayat pada plakad yang dipegang kira-kira 30 penduduk Kampung Peel yang mengadakan protes aman di kawasan penempatan itu pada Ahad.

Ketua kampung, A Deva berkata, seramai 134 penduduk kawasan itu menerima notis pengosongan oleh pemaju pada 2018 selain ditawarkan pampasan sebanyak RM10,000.

Menurutnya, seramai lapan penduduk telah berpindah sementara 126 keluarga lagi masih tinggal di situ dan memohon supaya disediakan penempatan baharu di Projek Perumahan Rakyat (PPR).

"Penduduk mahu rumah untuk jaminan jangka panjang, ke mana kami mahu pergi dengan wang sebanyak itu. Tidak cukup untuk membeli rumah di Kuala Lumpur.

"Saya mohon Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dapat membantu, kami tidak kisah ditempatkan di mana-mana PPR sama ada Bukit Jalil atau Jalan Peel atau Pudu Ulu, asalkan ada rumah," katanya kepada pemberita pada protes aman itu.

Difahamkan perkampungan tersebut telah diduduki lebih 60 tahun dan penduduk berstatus peneroka bandar berdasarkan bukti memiliki geran sementara (TOL).

Seorang penduduk, Lau Wan Ngoh, 88 berkata, dia yang tinggal di sana sejak kecil tidak menyangka perlu meninggalkan perkampungan tersebut pada usia lanjut.

Prabakaran (tiga dari kanan) bersama penduduk Kampung Jalan Peel yang mengadakan protes aman pada Ahad.
Prabakaran (tiga dari kanan) bersama penduduk Kampung Jalan Peel yang mengadakan protes aman pada Ahad.

"Ini satu-satunya rumah yang saya ada dan kesemua anak juga membesar di sini. Saya tidak tahu hendak ke mana jika diminta keluar tanpa ada rumah ganti.

"Kalau boleh saya tidak mahu menyusahkan anak-anak kerana masing-masing sudah berkeluarga, " katanya.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan Wilayah Persekutuan, P Prabakaran berkata, pihaknya akan berbincang dengan Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Datuk Seri Mahadi Che Ngah bagi membantu penduduk mendapatkan rumah PPR.

"Kebanyakan penduduk dalam kalangan B40 dan M40 yang perlu dibantu. Isu ini sejak 2015 dan agak serius namun dipandang remeh oleh pemimpin sekarang.

"Kita mohon penduduk yang layak diberikan rumah, sementara yang dalam kalangan M40 diberikan diskaun untuk membolehkan mereka membeli kediaman bagi pembangunan akan datang," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!