Umat Islam kesal tindakan Perancis

Penduduk Muslim di bawah usia 18 tahun tidak lagi dibenarkan memakai niqab apabila rang undang-undang kontroversi itu diluluskan.
Penduduk Muslim di bawah usia 18 tahun tidak lagi dibenarkan memakai niqab apabila rang undang-undang kontroversi itu diluluskan.
A
A
A

PARIS - Pada akhir bulan lalu Dewan Senat di Perancis meluluskan pindaan rang undang-undang pemisahan yang melarang wanita berumur di bawah 18 tahun di negara itu daripada memakai pakaian keagamaan di tempat-tempat awam.

Bagaimanapun, ia belum boleh dilaksanakan lagi kerana memerlukan sokongan daripada anggota Perhimpunan Kebangsaan tetapi jika dilaksanakan, ia bakal menyaksikan golongan itu dilarang memakai niqab atau tudung di tempat awam.

Di bawah pindaan kedua itu, ibu bapa juga dilarang daripada menyertai lawatan-lawatan dan aktiviti anjuran pihak sekolah bersama anak-anak jika mereka didapati memakai pakaian keagamaan.

Usul pindaan undang-undang itu dikemukakan oleh sekumpulan senator daripada Parti Republikan (LR) yang konservatif, Parti Demokratik Eropah dan Perhimpunan Sosial di Dewan Senat.

Berita tentang pindaan undang-undang tersebut bukan sahaja mencetuskan kemarahan umat Islam di dalam dan di luar Perancis malah penduduk bukan Muslim di Perancis turut menzahirkan rasa tidak puas hati menerusi laman Twitter.

Para pengkritik berpendapat bahawa rang undang-undang tersebut itu merupakan satu bentuk diskriminasi dan menyasarkan kira-kira 5.7 juta penduduk Islam di Perancis iaitu yang terbesar di Eropah.

Dalam pada itu, pemakaian burkini iaitu pakaian renang yang menutup keseluruhan tubuh kaum wanita juga akan diharamkan di kolam renang negara itu.

Portal berita Morocco World News memetik kenyataan seorang pempengaruh atau ‘Influencer’ yang berketurunan Perancis-Maghribi, Hanan Houachmi melaporkan berkata bahawa wanita itu tidak faham pemakaian wanita masih menjadi isu besar di sebuah negara maju pada tahun 2021.

Artikel Berkaitan:

Sedekad lalu, pemerintah Perancis pernah mencetuskan kontroversi apabila ia meluluskan undang-undang melarang wanita Muslim memakai niqab atau purdah.

Golongan wanita berdepan dengan pelbagai undang-undang sekular yang menghalang mereka daripada memakai pakaian menutup aurat di Perancis.
Golongan wanita berdepan dengan pelbagai undang-undang sekular yang menghalang mereka daripada memakai pakaian menutup aurat di Perancis.

Ironinya, pemakaian pelitup diwajibkan pula di sejumlah tempat di Perancis walaupun ia menutup hampir keseluruhan wajah individu seperti niqab.

Isu larangan pemakaian yang menutup keseluruhan wajah di Perancis bukan perkara baharu kerana ia telah dilaksanakan sejak tahun 2010 ketika negara itu di bawah pemerintahan bekas Presiden, Nicolas Sarkozy.

Ketika itu, ia turut mengenakan denda sebanyak 150 euro (RM738) kepada wanita yang memakai pakaian yang menutup keseluruhan wajahnya.

Perancis menegaskan larangan pemakaian itu kononnya atas sebab perpaduan sosial dan alasan keselamatan.

Pada 23 Oktober 2018, Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagaimanapun menyatakan larangan memakai pakaian menutup keseluruhan muka di tempat-tempat awam di Perancis adalah melanggar hak kebebasan wanita Muslim.

Dewan Senat seolah-olah tidak mempedulikan larangan itu kerana ia tetap meluluskan rang undang-undang kontroversi tersebut yang diperkenalkan atas prinsip republik Perancis dan usaha menghalang fahaman radikal daripada terus berleluasa di negara tersebut.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron juga berpendapat pemakaian tudung kononnya tidak mengikut nilai kehidupan awam rakyat.

Sejak 2004, negara itu juga telah mengenakan larangan pemakaian tudung dan niqab di sekolah-sekolah awam.

Sehubungan itu, ramai pihak tidak menganggap Perancis sebagai sebuah negara liberal kerana hanya melarang pemakaian tudung sebaliknya ia menunjukkan wujud Islamofobia di negara berkenaan.

Sejak 2015, sentimen anti-Islam itu semakin meningkat susulan daripada serangan di pejabat majalah satira, Charlie Hebdo di Paris yang menyebabkan 12 orang terbunuh kerana bertindak biadab menyiarkan karikatur Nabi Muhammad SAW.Ia disusuli kejadian seorang guru dipenggal di pinggir Paris kerana didakwa menunjukkan karikatur Rasulullah pada tahun lalu.

Insiden itu merupakan antara kejadian yang melibatkan golongan radikal sehingga mencetuskan kebimbangan kepada pemerintah Perancis.

Pada Rabu lalu, Dewan Senat turut meluluskan larangan menunaikan solat di kawasan universiti sebagai sebahagian daripada rang undang-undang pemisahan yang menyasarkan penduduk Muslim di negara itu.

Dewan itu juga melarang aktiviti-aktiviti keagamaan dilakukan di universiti kerana ia didakwa kononnya akan mengganggu kegiatan pembelajaran di kampus.

Walaupun Menteri Pendidikan, Jean-Michel Blanquer membantah pelaksanaan larangan tersebut, ia tetap diluluskan Dewan Senat sekali gus jelas menunjukkan ancaman Islamofobia semakin meningkat di Perancis.