X

Kindly register in order to view this article
!

Agong hantar perutusan takziah kepada Ratu Elizabeth II

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Sabtu berkenan menghantar perutusan takziah kepada Ratu Elizabeth II atas kemangkatan suami tercinta, Putera Philip, Duke of Edinburgh.

Perutusan itu yang dikongsi di laman Facebook Istana Negara menyifatkan Putera Philip sebagai tokoh berkarisma luar biasa dan terkenal dengan kerja-kerja amal serta sifat dermawan baginda.

Seri Paduka bertitah Malaysia mempunyai banyak kenangan manis mengenai Putera Philip kerana baginda kerap berkunjung ke negara ini.

Al-Sultan Abdullah juga bertitah baginda dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah telah beberapa kali berpeluang bertemu dengan Putera Philip selain turut diberi penghormatan menjadi tuan rumah semasa kunjungan baginda ke Taman Negara, Pahang pada 1989.

Baginda bertitah Putera Philip akan sentiasa dikenang kerana sokongan teguh baginda kepada Ratu Elizabeth II, komitmen tidak berbelah-bahagi kepada Komanwel yang dianggotai Malaysia serta usaha baginda dalam menggalakkan hubungan yang lebih erat antara United Kingdom dan Malaysia.

“Ingatan dan doa dititipkan kepada baginda Ratu, kerabat diraja dan rakyat Britain yang turut merasai pemergian Putera Philip,” titah Al-Sultan Abdullah dalam perutusan itu.

Istana Buckingham mengumumkan Putera Philip mangkat pada usia 99 tahun di Istana Windsor. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Putera Philip meninggal dunia


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!