Agong, Permaisuri ucap takziah kepada keluarga Dr A Mangalam

Seri Paduka Baginda menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Dr A Mangalam yang meninggal dunia pada Sabtu lepas. - Foto Facebook Istana Negara
Seri Paduka Baginda menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Dr A Mangalam yang meninggal dunia pada Sabtu lepas. - Foto Facebook Istana Negara
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Isnin menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Datin Paduka Dr A Mangalam, presiden seumur hidup Pure Life Society yang meninggal dunia Sabtu lepas.

Turut menzahirkan rasa dukacita ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

"Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah menghargai sumbangan mendiang kepada masyarakat, khususnya kepada anak-anak yatim dan golongan yang kurang bernasib baik serta tidak berkemampuan," menurut catatan Facebook Istana Negara pada Isnin.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong juga menzahirkan harapan agar seluruh keluarga mendiang sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

Terkenal dengan kerja-kerja kemanusiaan, mendiang dilahirkan di Singapura pada 1926 dan berpindah ke Kuala Lumpur pada 1948, bekerja sebagai guru sebelum menyertai Pure Life Society setahun kemudian.

Pada 2003, mendiang telah dikurniakan Bintang Kesatria Mangku Negara dan Pingat Jasa Kebaktian pada 1955.

Pada 1977, mendiang telah dianugerahkan Pingat Emas Tun Fatimah daripada Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita dan Merdeka Award 2010 untuk pendidikan dan komuniti.

Mendiang juga pernah memegang jawatan Naib Presiden Pertubuhan Antara Agama Malaysia and ahli Majlis Penasihat Kebangsaan untuk Integrasi Wanita dalam Pembangunan. - Bernama