Pas henti sementara rundingan kerusi dengan UMNO

Pas menghentikan sementara rundingan pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan UMNO.
Pas menghentikan sementara rundingan pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan UMNO.
A
A
A

MARANG - Pas menghentikan sementara rundingan pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan UMNO dan ketika ini rundingan yang ada hanyalah dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, rundingan dengan UMNO akan diteruskan setelah parti itu mempunyai keputusan atau hala tuju yang jelas tentang kerjasama bersama Pas dan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRU15 akan datang.

"Sekarang ini sudah ada pimpinan Pas yang melaksanakan tugas itu (pembahagian kerusi) dengan Bersatu. Dengan UMNO pula, dulu sudah ada jawatankuasa yang dibentuk tetapi UMNO yang ubah di tengah jalan. Oleh kerana UMNO bermasalah, kita dengan Bersatu dulu (bincang mengenai pembahagian kerusi)," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah Jumaat secara dalam talian di sini pada Jumaat.

Ditanya mengenai kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang menegaskan parti itu mahu bertanding secara solo pada PRU15 di negeri ini, Abdul Hadi berkata, ia belum dimuktamadkan oleh pimpinan tertinggi UMNO di peringkat pusat.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, Pas seboleh mungkin masih mahu menyeru kepada perpaduan umat Islam dan masyarakat majmuk sekali gus mengelakkan berlakunya perpecahan.

"Muafakat Nasional (MN) bukan sahaja kerjasama antara Pas dengan UMNO...ia termasuk Bersatu. Itu dasar dan prinsip bersama yang kita dah bersetuju sebelum ini tetapi masalahnya pimpinan UMNO yang tak ikut, itu hak merekalah.

"Namun, saya difahamkan bukan semua orang UMNO begitu... jadi kita nak menyatukan orang Melayu. Bukan Pas dan UMNO sahaja Melayu, malah banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO), individu dan semua pihak kita kena terima dalam penyatuan... kecuali yang ekstrem, Melayu yang ekstrem itu kita tolak," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: