MARii, MKMGH meterai MoU edar kit ujian ImmuSAFE

Dari kiri: Dr Faizal, Madani, Iskandar, Rosli, Ah Tong, Rayyan dan Wan Khalik pada Majlis Menandatangani MoU antara MARii dan MKM serta Perjanjian Jualan Semula antara RZAC dan MKM di Cyberjaya pada Jumaat.
Dari kiri: Dr Faizal, Madani, Iskandar, Rosli, Ah Tong, Rayyan dan Wan Khalik pada Majlis Menandatangani MoU antara MARii dan MKM serta Perjanjian Jualan Semula antara RZAC dan MKM di Cyberjaya pada Jumaat.
A
A
A

CYBERJAYA - Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan MKM Global Holdings Sdn Bhd (MKMGH) untuk mengkomersialkan produk dan perkhidmatan berkaitan kit ujian penyakit berjangkit serta tidak berjangkit iaitu ImmuSAFE.

Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Datuk Madani Sahari berkata, kolaboratif itu turut melibatkan perjanjian jualan semula antara MKMGH dengan syarikat pembekal produk perubatan RZAC ImmuneSAFE Sdn Bhd (RZAC).

Beliau berkata, perjanjian jualan semula antara kedua-dua syarikat itu menjadikan MKMGH yang juga anak syarikat milik penuh Institut Koperasi Malaysia sebagai sub pengedar eksklusif pertama dilantik untuk mempromosi dan mengedar kit ujian ImmuSAFE kepada enam juta ahli Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

“Ini merupakan satu detik penting dalam pengkomersialan kit ujian ImmuSAFE. Ia dilakukan pada waktu yang sangat tepat memandangkan kerajaan sudah pun melancarkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani MoU antara MARii dan MKM serta Perjanjian Jualan Semula antara RZAC dan MKM di sini pada Jumaat.

Turut hadir ialah Pengerusi MARii, Datuk Phang Ah Tong; Pengerusi MKMGH, Datuk Dr Rosli Mat Hassan; Pengarah Eksekutif MKMGH, Datuk Iskandar Abd Malik; Pengarah RZAC, Datuk Seri Rayyann Joseph King dan Datuk Wan Khalik Wan Muhammad serta Penasihat Pengurusan Data Kesihatan dan Perubatan MARii, Dr Faizal Anwar.

ImmuSAFE yang dilancarkan September lalu merupakan kit ujian serologi (kajian tentang serum darah) pertama di dunia yang memiliki kemampuan untuk mengesan prevalens antibodi berkaitan sembilan domain virus SARS-CoV-2 yang berbeza.

ARTIKEL BERKAITAN: Ujian ImmuSAFE Covid+ verifikasi keberkesanan vaksin

Sementara itu, Madani berkata, hasil ujian kit tersebut menawarkan maklumat mengenai faktor risiko keberjangkitan dan juga kehadiran antibodi pelindung terhadap Covid-19 pada individu bergejala dan tidak bergejala.

Artikel Berkaitan:

“Ini bermakna maklumat mengenai jangkitan sebelumnya dan tahap imuniti seseorang individu termasuk mereka yang sudah mengambil vaksin dapat diketahui daripada keputusan ujian ImmuSAFE.

“Pihak yang paling mendapat banyak manfaat daripada maklumat ini adalah pemain industri dan perniagaan yang kini dapat mengurus impak risiko kesihatan pekerja terhadap operasi harian dengan lebih baik," katanya.

Ketika ditanya mengenai kos yang akan dikenakan bagi perkhidmatan kit ujian tersebut, Madani berkata, beliau masih tidak dapat memaklumkan harga sebenar bagi produk itu.

Bagaimanapun, beliau menjangkakan ia lebih rendah daripada ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR).

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya sedang dalam perbincangan dengan pengeluar dan pengilang vaksin untuk membolehkan ImmuSAFE digunakan bersama-sama dengan vaksin yang diberikan kepada pengguna.

“Kita juga sedang meneroka kemungkinan untuk memasarkan produk kita di luar negara. Tetapi fokus kita yang pertama ialah di dalam negara dahulu. Selepas itu kita akan ke negara Asia Tenggara dan dari situ baru kita mula pergi ke pasaran luar,” katanya.

Dalam pada itu, Rosli berkata, kerjasama tersebut dijangka menyumbang sebanyak 30 peratus daripada keseluruhan pendapatan perniagaan syarikatnya dengan selebihnya adalah daripada sektor pendidikan.

MKMGH merupakan syarikat yang diwujudkan sebagai cabang pelaburan bagi memberikan penumpuan terhadap pertumbuhan pendapatan IKM yang juga merupakan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC).