Lelaki dipercayai pesakit mental ditemui mati dalam longkang

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUANTAN - Seorang lelaki ditemui mati dalam longkang sedalam dua meter berhampiran Surau Tanah Putih Lama, Medan Warisan di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, mayat lelaki tanpa identiti berusia dalam lingkungan 40-an ditemui kira-kira jam 1 petang dalam keadaan tidak berbaju dan hanya berseluar pendek.

Menurutnya, mayat mangsa dikeluarkan dengan bantuan pihak bomba sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk proses bedah siasat.

"Hasil pemeriksaan awal pada fizikal mayat tidak menemui sebarang unsur perlakuan jenayah.

"Identiti mangsa tidak dapat dikenalpasti ketika ditemui berikutan tiada sebarang dokumen pengenalan diri pada mayat lelaki berkenaan," katanya.

Beliau berkata, pihak polis telah mengesan waris simati berdasarkan maklumat diperoleh daripada orang awam mengatakan mangsa merupakan seorang pesakit mental berasal dari Perkampungan Sungai Isap 2 di sini.

"Bapa mangsa berjaya dikesan dan dipanggil untuk proses pengecaman,"katanya.

Katanya, kematian lelaki itu setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel Berkaitan: