Adakah Israel serang kapal Iran?

Kapal kargo milik Israel, MV Helios Ray rosak akibat letupan yang berlaku pada bahagian depannya di Teluk Oman pada 26 Februari lalu sehingga menyebabkan Iran dituduh melakukan insiden tersebut. - Foto AFP
Kapal kargo milik Israel, MV Helios Ray rosak akibat letupan yang berlaku pada bahagian depannya di Teluk Oman pada 26 Februari lalu sehingga menyebabkan Iran dituduh melakukan insiden tersebut. - Foto AFP
A
A
A

SEBUAH kapal pengangkut kargo milik Iran iaitu MV Savis yang berlabuh sejak beberapa tahun lalu di Laut Merah di luar perairan Djibouti dilaporkan mengalami kerosakan akibat letupan periuk api laut pada Selasa lalu.

Kementerian Luar negara Iran menjelaskan MV Savis berada di Laut Merah untuk memerangi kegiatan lanun dan menjaga keselamatan di sepanjang laluan perkapalan di Teluk Aden.

Secara kebetulan, kejadian itu berlaku selepas sebuah kapal kargo milik Israel, MV Helios Ray turut rosak akibat letupan di Teluk Oman pada 26 Februari lalu sehingga menyebabkan Iran dituduh melakukan insiden tersebut.

Bagaimanapun, Duta Iran ke PBB, Majid Takht Ravanch menafikan negaranya melakukan serangan ke atas MV Helios Ray yang menyebabkan bahagian depan kapal tersebut dipenuhi lubang-lubang.

Hubungan panas kedua-dua negara itu menyebabkan insiden terbaru ke atas kapal milik Iran dikaitkan dengan Israel.

Ini diperkuatan lagi dengan laporan akhbar New York Times yang memetik seorang pegawai Amerika Syarikat (AS) berkata, rejim Zionis memberitahu Washington bahawa mereka telah menyerang sebuah kapal pada waktu pagi Selasa lalu.

Pegawai AS yang identitinya tidak didedahkan itu berkata, Israel menganggap kejadian tersebut sebagai serangan balas ke atas Iran, namun Tel Aviv masih tidak memberikan sebarang komen berhubung letupan berkenaan.

Pihak Barat dan pakar-pakar PBB juga menuduh Iran membekalkan senjata kepada pemberontak-pemberontak Houthi yang menentang kerajaan Yemen yang dipilih oleh rakyat.

Artikel Berkaitan:

Namun, Iran menafikan membekalkan senjata kepada para pemberontak Houthi walaupun komponen persenjataan yang ditemui di Yemen mempunyai kaitan dengan Teheran.

Institut Tentera Laut AS berkata, dalam satu laporan pada tahun 2020 bahawa kapal MV Savis walaupun merupakan sebuah kapal kargo, ia kemungkinan besar menjadi tempat untuk anggota-anggota Pengawal Revolusi Iran melakukan operasi mereka.

Laporan itu turut menyatakan bahawa Arab Saudi mengesyaki bahawa kapal berkenaan dikendalikan oleh Pasukan Pengawal Revolusi Iran.

Justeru, Arab Saudi mengesyaki bahawa letupan ke atas kapal milik Iran tersebut dilakukan oleh anggota-anggota komando Israel.

Pada kebiasaannya, Israel jarang mengesahkan atau menafikan ia melakukan serangan ke atas sasaran-sasaran Iran.

Sebelum ini, Iran menuduh Israel melakukan satu siri serangan termasuk satu letupan misteri yang berlaku pada Ogos tahun lalu di loji nuklear Natanz dan pembunuhan seorang saintis negara tersebut, Mohsen Fakhrizadeh pada tahun 2020 yang dianggap pengasas kepada program nuklear Republik Islam itu.

Kejadian letupan itu juga berlaku selepas akhbar The Wall Street Journal mendedahkan bahawa Israel telah menyerang kira-kira 12 buah kapal yang membawa bekalan minyak seludup dari Iran ke Syria.

Serangan itu didakwa mula berlaku pada lewat 2019 dengan menggunakan periuk api laut ke atas kapal-kapal yang membawa bekalan minyak dan senjata Iran ke Syria namun Israel tidak memberikan sebarang komen berhubung pendedahan akhbar tersebut.

Menteri Pertahanan sementara Israel, Benny Gantz dilaporkan berkata bahawa beliau tidak akan memberikan sebarang komen tentang kejadian letupan kecil yang berlaku pada kapal milik Iran itu.

Namun, Gantz pada Rabu lalu berkata Tel Aviv akan melakukan tindakan ketenteraan di mana-mana sahaja lokasi jika terdapat sebarang ancaman terhadap keselamatan Israel. - Agensi