Bapa kandung paling ramai ‘ratah’ anak

Bapa kandung menjadi pelaku tertinggi direkodkan menyumbang kepada kes jenayah sumbang mahram di Malaysia. - Gambar hiasan
Bapa kandung menjadi pelaku tertinggi direkodkan menyumbang kepada kes jenayah sumbang mahram di Malaysia. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Bapa kandung menjadi pelaku tertinggi direkodkan menyumbang kepada kes jenayah sumbang mahram dalam negara ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, berdasarkan jumlah yang direkodkan sejak tahun 2019 hingga Februari 2021, sebanyak 169 kes dilaporkan melibatkan bapa kandung sebagai pelaku.

Menurutnya, jumlah itu diikuti oleh bapa tiri dengan 155 kes, bapa saudara (100 kes) dan abang kandung (55 kes).

“Sumbang mahram melibatkan pelaku dalam kalangan ahli keluarga terdekat kerana disebabkan suspek ada ‘kuasa’ dalam keluarga.

“Pelaku lazimnya ambil peluang ke atas anak yang lemah diikuti dengan faktor hilang kewarasan fikiran dan tanggungjawab. Dia (pelaku) sendiri tidak faham tanggungjawab pada dirinya. Kalau dia faham, dia tidak akan melakukan perkara keji itu.

“Selain itu, pelaku bertindak sedemikian disebabkan tiada pegangan agama yang kukuh atau tidak menghayati sepenuhnya nilai murni dan maksud tanggungjawab mereka sebagai manusia, bapa atau abang yang mana sepatutnya berperanan sebagai pelindung bukannya pemangsa,” katanya kepada Sinar Harian.

Siti Kamsiah berkata, berdasarkan laporan yang diterima, terdapat juga kes pelaku hilang kewarasan fikiran akibat terjebak dengan dadah atau mabuk, selain mahu mengeksploitasi anak bagi keseronokan sendiri kerana mempunyai pegangan yang terpesong.

“Ada yang menganggap kalau mereka ‘tak pakai’, suatu masa nanti ada orang lain yang ‘pakai’ dan ada yang jatuh cinta kepada anak sendiri,” kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, siasatan mendapati biasanya kes sumbang mahram bermula semasa mangsa berumur di bawah 12 tahun di mana kanak-kanak ini tidak mengetahui apa perlakuan itu.

“Mereka (kanak-kanak) tidak tahu bertindak. Hendak beritahu emak, takut kerana diugut suspek dan ini antara modus operandinya. Tidak dinafikan ada juga ibu mengetahui kejadian tetapi tidak berani menentang pelaku jenayah ini demi melindungi mangsa.

“Segelintir kes, kanak-kanak ini akan dipujuk, diberi upah dan sebagainya sebelum diperlakukan sedemikian,” katanya.

Siti Kamsiah
Siti Kamsiah

Beliau berkata, jenayah itu akhirnya terbongkar apabila usia mangsa mencecah belasan tahun di mana sudah matang dan faham dengan sistem reproduktif dan berani berkongsi dengan orang lain bagi mencari jalan penyelesaian.

“Pendedahan kebanyakan dibuat selepas mangsa masuk ke sekolah menengah dan kebanyakan kes sumbang mahram berlaku sekurang-kurangnya lima tahun ke belakang sebelum terbongkar,” kata beliau.

Katanya, golongan pelaku ternyata cetek ilmu agama dan pegangan kepada suatu nilai yang murni hingga menyebabkan nafsu mengawal kewarasan akal mereka.

“Dari sudut agama, perbuatan ini adalah berdosa kerana sepatutnya golongan ini bertanggungjawab sebagai pelindung,” tegas beliau lagi.

Justeru, katanya, pihaknya menggesa mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah sedemikian untuk melaporkan kepada pihak polis untuk diambil tindakan di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan.


INFO


Statistik kes sumbang mahram tahun 2019 hingga Februari 2021

169 kes - Pelaku bapa kandung

155 kes - Pelaku bapa tiri

100 kes - Pelaku bapa saudara

55 kes - Pelaku abang kandung