Hasrat anak OKU jumpa Sultan Ibrahim tercapai

Sudin bersama anaknya ketika ditemui di Kampung Sri Gunung Pulai.
Sudin bersama anaknya ketika ditemui di Kampung Sri Gunung Pulai.
A
A
A
KULAI - Hasrat seorang bapa yang mempunyai orang kurang upaya (OKU) berkerusi roda untuk bersama menyambut keberangkatan tiba Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Kampung Sri Gunung Pulai di sini, akhirnya tercapai.

Bagi Sudin Kasim, 50, jelas terpancar kegembiraan dan teruja pada riak wajah anaknya Saharuddin, 30, sebaik sahaja melihat ketibaan Sultan Ibrahim bersama Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.

"Saya bawa dia sekali hari ini tujuannya untuk memastikan anak saya juga kenal Sultan Johor.

"Walaupun dia tidak boleh bercakap, tapi saya nampak dia faham dan senyum sahaja," katanya.

Sudin berkata, anaknya itu juga penerima sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Saya sebagai rakyat Johor sentiasa berharap agar kembara Mahkota Johor (KMJ) akan terus berlanjutan kerana rakyat sayang Sultan Johor dan mendoakan agar baginda sentiasa sihat," katanya.

Terdahulu, penduduk Kampung Sri Gunung Pulai menyambut keberangkatan tiba Sultan Ibrahim dan rombongan KMJ 2018 di kampung berkenaan.

Baginda Tuanku berangkat tiba kira-kira jam 10.30 pagi dengan memandu kereta beroda tiga Morgan bersama Raja Zarith Sofiah.

Permaisuri Johor turut berkenan melepaskan anak ikan di sungai dekat Gunung Pulai, manakala Tunku Putra Johor, Tunku Abu Bakar menyertai permainan melepaskan kapal kertas.
Artikel Berkaitan:


Selepas hampir sejam berada di Kampung Sri Gunung Pulai, Sultan Ibrahim berangkat meninggalkan majlis menuju ke destinasi terakhir iaitu Padang Awam Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang.