1,285 kes baharu, Selangor catat kes tertinggi

DR NOOR HISHAM
DR NOOR HISHAM
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 1,285 kes positif baharu Covid-19 dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Khamis.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 17 kes import dan 1,268 penularan tempatan.

"Penularan dalam negara membabitkan 999 warga tempatan dan 259 warga asing," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara ini meningkat kepada 355,753 kes dan 14,203 adalah kes aktif.

"Terdapat 186 kes dirawat di unit rawatan rapi dan 81 memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Beliau berkata, KKM menerima empat laporan kematian berkaitan Covid-19 di seluruh negara sekali gus menjadikan jumlah keseluruhannya 1,308 kes.

"Kesemua kes kematian yang dilaporkan membabitkan warga tempatan yang berumur 60 hingga 83 tahun di Selangor, Sarawak dan Sabah," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat 1,175 kes pulih sepenuhnya daripada Covid-19 direkodkan.

Artikel Berkaitan:

"Jumlah kumulatif kes pulih adalah 340,242 kes bersamaan 95.6 peratus daripada keseluruhan kes," katanya.

Mengulas lanjut mengenai jangkitan dalam negara, beliau berkata, Selangor kembali merekodkan jumlah tertinggi kes iaitu 374.

"Daripada jumlah ini, sebanyak 292 kes adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan," katanya.

Tambahnya, Sarawak merekodkan 211 kes diikuti Pulau Pinang (162), Kuala Lumpur (120), Sabah (106) dan Johor (101).

"Kelantan (87), Kedah (31), Perak (24), Putrajaya (19), Pahang (12), Melaka (11), Terengganu (11), Labuan (tiga) dan Perlis (satu)," katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, terdapat empat kluster baharu dikenal pasti membabitkan tiga kluster tempat kerja dan satu komuniti.

"Kluster tempat kerja adalah Jalan Taming (Selangor), Industri Parit Raja (Johor) dan Perusahaan Perai Tiga (Pulau Pinang) sementara kluster komuniti adalah Padang Manggis (Pahang)," katanya.

"Jumlah keseluruhan kluster yang direkodkan adalah 1,435 yang mana 1,087 telah diisytiharkan tamat manakala kluster aktif adalah 348 dan 47 merekodkan pertambahan kes baharu hari ini," katanya.

Justeru, orang ramai dinasihati agar terus patuhi saranan serta nasihat kesihatan yang sering ditekankan iaitu elakkan 3S dan amalkan 3W.