Kaji semula projek musang king

Persekitaran Gunung Inas telah dibuat teres untuk menanam pokok durian musang king.
Persekitaran Gunung Inas telah dibuat teres untuk menanam pokok durian musang king.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah digesa mengkaji semula projek pembangunan hutan yang telah diluluskan di Hutan Simpan Gunung Inas, Hutan Simpan Gunung Bongsu dan Hutan Simpan Rimba Teloi kerana didakwa mengakibatkan pelbagai masalah sehingga merugikan rakyat.

Wakil Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) Cawangan Kedah, Mohd Sobri Ramlee berkata, kerajaan negeri wajar menjadikan projek pembangunan hutan di Hutan Simpan Bukit Enggang yang ditanam spesies balak sebagai pengajaran.

Beliau berkata, ia selepas projek berkenaan dibantah penduduk yang mendesak menggantikan pokok Albezia kepada spesies asal balak.

Menurutnya, bantahan penduduk terhadap projek ladang durian musang king di Gunung Inas berasas kerana sehingga kini kesan alam sekitar terus dirasai penduduk walaupun projek berkenaan diteroka sejak tahun 2018.

“Banjir lumpur kerap melanda kampung berdekatan menyebabkan tanaman komoditi seperti getah dan kelapa sawit yang menjadi punca pendapatan penduduk rosak akibat mendapan lumpur tebal.

“Terdapat dusun buah-buahan musnah akibat banjir lumpur selain sungai menjadi cetek kesan daripada lumpur yang menebal,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.

Mohd Sobri berkata, sebahagian penduduk menjadikan air dari Gunung Inas sebagai punca air bersih untuk kegunaan seharian kerana belum menerima air terawat dari Syarikat Air Darul Aman (SADA).

“Bekalan air bukit musnah kesan daripada projek pembangunan hutan. Kemusnahan tempat pelancongan seperti Lata Celak yang menjadi tarikan pelancong luar dan dalam negara kerana keindahan alam sekitar dan kejernihan airnya, turut terjejas,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Akibat daripada mendapan sungai katanya, penduduk turut kehilangan sumber pendapatan sampingan apabila sejumlah hidupan akuatik turut terjejas.

“Ia termasuk penduduk yang menjadikan hasil hutan sebagai sumber pendapatan seperti herba, lebah dan sumber hutan lain. Sektor pelancongan inap desa yang diusahakan penduduk turut terjejas kerana kejernihan air dan kehijauan alam sekitar semakin terancam,” katanya.

Pusat Rekreasi Lata Celak kini tidak seindah dahulu, malah airnya makin cetek dan keruh.
Pusat Rekreasi Lata Celak kini tidak seindah dahulu, malah airnya makin cetek dan keruh.

Tambah beliau, penduduk turut mengadu kelibat haiwan liar seperti gajah dan kucing hutan dari hutan berdekatan menceroboh ke kawasan kampung.

“Tanaman penduduk musnah akibat serangan gajah yang mencari sumber makanan, selain mengancam keselamatan penduduk. Ada yang trauma apabila berlakunya hujan lebat kerana air boleh naik mendadak sekelip mata dan berlaku banjir lumpur,” katanya.

Risiko banjir besar

Mohd Sobri yang juga ahli Sahabat Alam Sik (SAS) mendakwa, sekiranya projek musang king diteruskan masalah penduduk akan berlanjutan, malah menimbulkan masalah baharu.

Menurutnya, antara masalah yang akan wujud ialah kemungkinan banjir lumpur yang lebih besar akibat daripada hakisan di kawasan teres untuk ditanam durian.

“Setelah durian ditanam, berlaku pencemaran sumber air bersih akibat dari pembajaan dan racun serangga serta rumpai. Penduduk berdepan pula dengan ancaman penyakit selain hidupan akuatik dan hidupan liar terancam,” katanya.

Menurutnya, masalah sungai cetek tiada penyelesaiannya sekiranya projek musang king tetap diteruskan.

“Peranan hutan sebagai pengimbang alam sekitar akan hilang, suhu akan meningkat, banjir kilat mudah berlaku, haiwan terancam makin pupus, bahkan pencemaran bahan kimia meresap ke tanah dan sumber air penduduk,” katanya.

Sehubungan itu, Peka dan SAS berharap kerajaan Kedah mengkaji semula Laporan Penilaian Impak Alam Sekeliling (EIA) bagi memberi ruang kepada penduduk dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menilai apa yang dilaporkan oleh pihak pemaju.

Gunung Inas gondol akibat pembangunan hutan.
Gunung Inas gondol akibat pembangunan hutan.


KRONOLOGI


21 November 2018 - Kerja-kerja membuat teres di Gunung Inas giat dijalankan. Antaranya dibina rumah pekerja, sistem kumbahan yang terus disalurkan ke sungai yang menjadi bekalan air bersih 17 kampung melibatkan 21,000 penduduk. Terdapat kesan minyak mengalir ke dalam sungai serta sisa plastik tidak diurus secara sistematik.

27 November 2018 - Laporan rasmi ke Jabatan Alam Sekitar susulan banjir lumpur dibuat oleh penduduk kampung dan Peka Kedah.

3 Januari 2019 - Penduduk terlibat dalam pembinaan empangan air di kompartmen 8 Gunung Inas mahu sumber minuman utama itu diselamatkan daripada pencemaran pembalakan dan projek musang king. Exco Pertanian dan Sumber Tani, Pengangkutan dan Industri Asas Tani Kedah, Azman Nasrudin memberitahu kerajaan telah arahkan pemaju perbaiki semula empangan air masyarakat yang terjejas.

31 Ogos 2019 - Kira-kira 200 penduduk Kampung Sineyek, Baling menerima kesan buruk akibat projek musang king di Gunung Inas. Kerja-kerja penarahan bukit dan penebangan pokok menyebabkan banjir dari tapak projek membawa hakisan pasir dan lumpur ke kawasan penduduk setiap kali hujan lebat.

4 September 2019 - Kampung Sineyek terus dilanda banjir lumpur dan pasir dari Gunung Inas yang didakwa berpunca daripada projek tanaman musang king.

8 Jun 2020 - Lebih 750 keluarga di sembilan kampung dalam Mukim Kupang terdedah pencemaran air tidak bersih dipercayai berpunca dari projek musang king dan pengambilan kayu balak di Kompartment 8, Hutan Simpan Gunung Inas. Antara kampung terjejas adalah Kampung Iboi, Masjid Iboi, Padang Empang, Kubang Katak, Bukit Kawi, Iboi Sekolah, Lata Celak, Bok Bak dan Bukit Iboi.

Julai 2020 - Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mengarahkan hentikan tanaman durian musang king dan kembali kepada tanaman dibenarkan untuk ladang hutan ganti tanah diluluskan.