Kejelasan, kepastian polisi sumbang pertumbuhan KDNK

Lim Guan Eng - Foto Bernama
Lim Guan Eng - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kejelasan dan kepastian polisi kerajaan dalam mengkalibrasi semula ekonomi negara ke arah pertumbuhan berkualiti tinggi memainkan peranan dalam mempercepatkan perkembangan KDNK.

KDNK Malaysia berkembang baik pada kadar yang lebih tinggi iaitu pada kadar 4.7 peratus tahun-ke-tahun (y-o-y) dalam suku keempat 2018, berbanding pertumbuhan suku ketiga iaitu 4.4 peratus y-o-y meskipun terdapat cabaran luaran dalam bentuk perang dagang yang berterusan antara Amerika Syarikat (AS)-China.

“Pertumbuhan sihat berbanding dengan negara-negara yang sama taraf dan saiz ini merupakan suatu kelebihan yang dapat membantu Malaysia kekalkan penarafan kreditnya pada taraf yang tinggi,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dari segi suku-ke-suku, pelaburan awam telah meningkat sebanyak 44 peratus dalam suku keempat.

"Perkembangan positif ini dijangka berlanjutan dalam tahun 2019. Selain itu, peranan Malaysia sebagai tempat berlindung neutral untuk perdagangan antarabangsa telah membolehkan eksport berkembang 1.3 peratus y-o-y dalam suku keempat setelah jatuh 0.8 peratus y-o-y dalam suku ketiga,” katanya.

Hasil daripada itu, Malaysia mencatatkan lebihan akaun semasa sebanyak 2.3 peratus daripada KDNK untuk tahun 2018.

Pada harga semasa, eksport barangan negara telah meningkat 6.7 peratus kepada hampir RM1 trilion manakala imbangan dagangan meningkat 22.1 peratus atau peningkatan sebanyak RM22 bilion kepada RM120 bilion, iaitu paras tertinggi dalam sejarah Malaysia.

Mengenai inflasi, Guan Eng berkata, kadar inflasi tahun 2018 yang berpurata 1.0 peratus y-o-y merupakan kadar terendah yang dicatatkan dalam tempoh sembilan tahun.

Artikel Berkaitan:

Dalam empat bulan yang pertama di bawah pentadbiran yang terdahulu, purata kadar inflasi ialah 1.7 peratus y-o-y.

“Ini berbeza dengan lapan bulan pertama pentadbiran Pakatan Harapan, apabila ia menurun secara signifikan kepada 0.6 peratus y-o-y. Ini menampilkan kesan positif polisi Pakatan Harapan pada harga pengguna, kata menteri itu.

Data Indeks Harga Pengguna (CPI) juga secara jelas menunjukkan bahawa pengkadaran sifar Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST) bermula Jun 2018 hingga Ogos 2018 telah membawa penurunan yang ketara kepada harga pengguna.

Tambahan lagi, pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada September 2018 tidak membawa kepada peningkatan inflasi secara mendadak dalam bulan-bulan yang berikutan. Sebagai contoh, kadar inflasi berpurata hanya 0.3 peratus y-o-y dalam empat bulan pertama setelah pengenalan SST, berbanding purata inflasi yang lebih tinggi pada 2.4 peratus dalam empat bulan pertama setelah GST diperkenalkan pada 2015.

"Ini mengesahkan lagi kenyataan-kenyataan saya sebelum ini bahawa pengenalan semula SST tidak akan memberikan impak pada peningkatan harga sebesar impak pengenalan GST, dan merupakan bukti kukuh yang menidakkan momokan pihak Pembangkang bahawa SST akan meningkatkan kadar inflasi.

“Walaupun Kerajaan telah berjaya merendahkan kadar inflasi, kami sedar dan mengambil berat tentang kos sara hidup yang tinggi seperti yang dialami sebahagian besar rakyat, terutamanya golongan B40 (40 peratus kumpulan isirumah berpendapatan rendah),” kata Guan Eng.

Dalam pada itu, Kementerian Kewangan (MOF), serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menubuhkan jawatankuasa kementerian bersama untuk meneliti langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengawal kos sara hidup di Malaysia.

Ini adalah sangat penting untuk memastikan kadar inflasi yang terendah dalam sembilan tahun sebanyak 1.0 peratus dicapai pada tahun 2018 dapat dicerminkan dalam harga barangan harian dan dinikmati rakyat, terutamanya bagi golongan B40.

"Jawatankuasa ini akan bekerja seiringan dengan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Nasional yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) untuk memastikan kos sara hidup untuk semua rakyat Malaysia kekal berpatutan dan sesuai mengikut kemampuan,” katanya.