X

Kindly register in order to view this article
!

Polis tambah SJR menjelang Ramadan

Zainal Abidin
A
A

NIBONG TEBAL - Polis mempertimbangkan untuk menambah jumlah sekatan jalan raya (SJR) di seluruh negara bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan merentas negeri untuk pulang ke kampung bagi menyambut Ramadan.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, semua anggota polis yang bertugas tidak lagi memberi nasihat sebaliknya terus mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang merentas negeri.

"Menjadi budaya setiap kali menjelang Ramadan pasti akan banyak pergerakan rentas negeri berlaku kerana mereka mahu menyambut puasa bersama keluarga di kampung.

"Bagi mengelak perkara ini dan menyebabkan risiko jangkitan Covid-19 berlaku polis memperketatkan pemeriksaan dengan menambah SJR terutamanya di lorong tikus bagi memastikan tiada pergerakan rentas negeri tanpa sebab munasabah," katanya ketika ditemui media di sini pada Rabu.

Terdahulu Zainal Abidin menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat Sarjan kepada dua anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) yang berjaya membongkar aktiviti pengedaran dadah di Bukit Mertajam pada 25 Februari lalu.

Mengulas lanjut, Zainal Abidin berkata, buat masa ini terdapat 35 SJR di seluruh negara membabitkan pintu masuk sempadan negeri.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya mengawal pergerakan dan sentiasa mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) supaya dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti.

"Pada masa ini jangan balik supaya kita boleh menyambut Hari Raya. Tolong jaga pergerakan," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai arahan yang meminta individu yang ingin merentas negeri menyertakan jadual perjalanan serta aktiviti yang dilakukan, Zainal Abidin memaklumkan bahawa arahan itu bukan daripada pengurusan tertinggi PDRM.

"Kita tidak meminta sehingga tahap itu (jadual aktiviti) cuma kalau hendak rentas negeri selama seminggu, kita perlu tahu alasannya," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!