Masalah kesuburan lelaki di Malaysia meningkat

 Berdasarkan kaji selidik yang dijalankan LPPKN pada tahun 2014, masalah subfertiliti di Malaysia naik kepada 8.6 peratus berbanding 6.9 peratus pada 2004.
Berdasarkan kaji selidik yang dijalankan LPPKN pada tahun 2014, masalah subfertiliti di Malaysia naik kepada 8.6 peratus berbanding 6.9 peratus pada 2004.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Masalah kesuburan dalam kalangan kaum lelaki di Malaysia semakin meningkat apabila 60 peratus ujian analisis sperma mengesahkan sperma yang diuji adalah abnormal.

Ketua Unit Subfertiliti Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Dr T Komathy berkata, ia berdasarkan data LPPKN dalam tempoh 10 tahun iaitu dari 2010 hingga 2019.

"Keabnormalan penghasilan dan fungsi sperma itu mungkin disebabkan oleh masalah atau kecederaan pada testis, masalah kesihatan seperti kencing manis, masalah genetik, berlaku jangkitan seperti mums (radang kelenjar liur parotid) atau pernah menjalani pembedahan pada testis.

"Berlaku juga satu keadaan dipanggil varicocele iaitu urat berpintal pada bahagian testis. Keadaan itu pun boleh menyebabkan masalah sperma," katanya dalam temubual eksklusif bersama Sinar Harian di Ibu Pejabat LPPKN di sini baru-baru ini.

Dr Komathy berkata, faktor persekitaran juga sangat mempengaruhi kesuburan lelaki kerana sperma sangat sensitif kepada bahan kimia tertentu dan toksin contohnya racun perosak pestisid, radiasi dan asap tembakau.

Menurutnya, pengambilan alkohol, dadah atau steroid (termasuk testosteron), pendedahan berlebihan kepada suhu panas dan pengambilan kafein yang berlebihan.

Katanya, ketidaksuburan dalam kalangan lelaki juga disebabkan masalah penyampaian sperma membabitkan masalah seksual seperti ejakulasi pramatang, ejakulasi kebelakang atau masalah struktural seperti sekatan pada epididimis, kerosakan pada organ reproduktif dan sejarah vasektomi.

Artikel Berkaitan:

Dr Komathy
Dr Komathy

"Faktor yang menyumbang kepada situasi itu juga disebabkan mati pucuk dan kurang nafsu seks kerana daripada pengalaman saya semasa kaunseling ramai juga pasangan mengakui tidak kerap mengadakan hubungan seksual.

"Masalah subfertiliti lelaki juga turut dipengaruhi faktor kerosakan akibat kanser atau rawatannya seperti okidektomi, radioterapi dan kemoterapi," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, gaya hidup memainkan peranan besar kepada suami berbanding isteri.

Ujar beliau, berdasarkan kaji selidik yang dijalankan LPPKN pada tahun 2014, masalah subfertiliti di Malaysia naik kepada 8.6 peratus berbanding 6.9 peratus pada 2004.

"Daripada jumlah itu, masalah kesuburan berpunca daripada suami sahaja merekodkan antara 30 hingga 40 peratus dan yang berpunca daripada isteri sahaja sebanyak 30 peratus.

"Masalah yang libatkan kedua-dua suami dan isteri dalam 20 hingga 30 peratus dan dalam 10 peratus kes pula punca penyebab tidak dapat dikenalpasti, tetapi ini mungkin disebabkan oleh faktor kekangan masa dan stres," katanya.

Memperincikan keadaan yang boleh memberi kesan kepada sperma, beliau menegaskan, ia boleh berlaku disebabkan apa-apa sahaja aktiviti yang merubah suhu sekitar alat kelamin lelaki menjadi panas.

Disebabkan itu, katanya, pihaknya mendapati kebanyakan lelaki yang mengalami masalah sperma adalah mereka yang memandu dalam jarak jauh dalam jangka masa panjang seperti pemandu lori.

"Aktiviti berbasikal pula kalau sekejap tiada masalah tetapi kalau lama sangat sampai kawasan alat kelamin panas, ia akan beri kesan juga.

"Tambahan lagi pemakaian mereka yang berbasikal juga agak ketat. Kalau berlaku situasi seperti ini, kita akan nasihatkan bila berada di rumah kena memakai pakaian yang longgar," katanya.