HPC bakal wujudkan 50,000 penempatan pekerjaan, peluang jana pendapatan

Saravanan menyampaikan ucapan sempena Majlis Perasmian HRDF Placement Centre (HPC) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Selasa. - Foto Bernama
Saravanan menyampaikan ucapan sempena Majlis Perasmian HRDF Placement Centre (HPC) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Portal Pusat Penempatan HRDF (HPC) menyasar untuk mewujudkan 50,000 penempatan pekerjaan dan peluang menjana pendapatan pada tahun ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, bagi mencapai sasaran itu, HRDF atau Pembangunan Sumber Manusia Berhad, akan menjelajah ke seluruh negara untuk menjalinkan kerjasama dengan majikan, persatuan majikan dan rakan strategik kerjaya.

“Jadi rakyat Malaysia boleh akses kepada 20,000 pekerjaan menerusi portal HPC mulai hari ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan portal berkenaan di sini yang turut dihadiri Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Saravanan berkata, sehingga kini, HRDF telah menjalinkan kerjasama strategik dengan lebih 20 majikan sebelum portal itu dilancarkan hari ini.

Beliau berkata, HPC bukan sebuah portal untuk mencari pekerjaan tetapi satu platform yang menyediakan penempatan pekerjaan dengan memberi tumpuan kepada pembentukan seseorang individu terhadap pekerjaan menerusi latihan dan kursus yang disediakan.

Mengulas mengenai cadangan untuk memberikan cuti kepada pekerja mendapatkan vaksin Covid-19, Saravanan berkata, Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan berbincang dengan pihak berkepentingan termasuk Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sebelum keputusan dibuat.

Pada Isnin, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, beberapa syor akan dikemukakan kepada KSM, antaranya menyarankan atau mewajibkan majikan memberi cuti kepada pekerja untuk mendapatkan vaksin mereka.

Selain itu, Saravanan juga meminta golongan belia khususnya yang sedang mencari pekerjaan agar tidak memilih pekerjaan ketika negara berdepan dengan pandemik Covid-19 dan tidak menjadikan menganggur satu budaya dalam komuniti negara ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, pelancaran HPC, kolaboratif sektor awam dan swasta akan diinstitusikan, bersama pewujudkan peluang pekerjaan dan penting dalam meningkatkan tenaga kerja berdasarkan keperluan pekerjaan dengan menyediakan peningkatan kemahiran dan latihan kecekapan yang diperlukan.

“HPC akan melengkapkan dan menyokong inisiatif Majlis Pekerjaan Negara untuk mencapai objektifnya pada akhir tahun ini. Insya-ALLAH, ia juga akan membantu meningkatkan purata pendapatan isi rumah rakyat Malaysia, seterusnya meningkatkan pasaran tenaga kerja negara,” kata Tengku Zafrul. - Bernama