X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 16 Oktober 2021

VSN 2030 suntik semangat baharu arena sukan negara

Reezal Merican Naina Merican
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) bakal tampil dengan inisiatif baharu - Visi Sukan Negara (VSN) 2030 bagi memastikan hala tuju dan perancangan pembangunan sukan negara dipetakan dengan lebih komprehensif, bersepadu dan kolektif bagi tempoh 10 tahun akan datang.

VSN 2030 dijangka dapat memberikan nafas baharu buat arena sukan negara dengan mengguna pakai konsep ‘daripada komuniti kepada komuniti’ supaya rakyat sendiri, tanpa mengira latar belakang merencanakan strategi sukan negara untuk 10 tahun ke hadapan.

Visi itu yang mahu meneruskan legasi sukan sebagai alat perpaduan yang ampuh dalam masyarakat serta melahirkan jaguh-jaguh berkelas dunia, merupakan kesinambungan daripada Dasar Sukan Negara 2009 (DSN2009).

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berharap VSN 2030 yang akan diperkenalkan nanti, diisi dengan aspirasi dan harapan seluruh rakyat, memandangkan VSN 2030 akan menjadi dokumen dan teks rasmi kerajaan yang dinamik dalam pembangunan sukan tanah air.

“Ia tidak boleh bersifat ‘stagnant’ dan ‘top-down’ semata-mata. Masa yang hanya kerajaan ‘tahu’ tentang semua perkara telah berlalu. Saya mengimpikan sebuah dokumen dasar yang sentiasa diteliti dan dihayati oleh rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menyeru seluruh rakyat Malaysia, terutamanya penggiat sukan untuk terlibat dalam memberikan pandangan dan cetusan idea dalam VSN 2030, memandangkan ia bakal menentukan hala tuju sukan negara bagi tempoh sedekad lagi.

KBS juga mengenal pasti beberapa komponen utama yang digariskan sebagai panduan kepada rakyat merangka dokumen dasar yang terlibat bagi hala tuju baharu tersebut.

Ia termasuk pemerkasaan pembudayaan sukan dalam masyarakat, kecemerlangan sukan, pengenalpastian dan pembangunan bakat, menjadikan Malaysia sebagai hab sukan antarabangsa, pemerkasaan industri sukan serta inklusiviti dan profesionalisme dalam pentadbiran sukan.

Bagi memenuhi hasrat mendapatkan idea, pandangan dan aspirasi daripada semua pihak, Reezal Merican bakal melancarkan Kanvas VSN 2030 secara maya yang akan disiarkan secara langsung menerusi Facebook rasmi KBS, www.facebook.com/myKBSMalaysia pada 3 petang esok.

Orang ramai boleh menyertai Kanvas VSN 2030 yang boleh dicapai dalam talian serta dialog awam (townhall) secara maya dan bersemuka tidak lama lagi, dan maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi laman sesawang www.vsn2030.my. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!