Pekerja kilang Singapura maut

A
A

ISKANDAR PUTERI - Seorang pekerja kilang di Singapura maut selepas motosikal ditunggang terbabas di Kilometer 11.3 Lebuhraya Link Kedua, arah Utara di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.50 pagi itu, mangsa, Teoh Choon Poh, 54, meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai kerana kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, kemalangan dipercayai berpunca apabila motosikal dinaiki mangsa hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan.

"Lelaki berkenaan ketika itu menaiki motosikal dari arah Singapura mahu menghala ke Gelang Patah. Polis percaya motosikalnya hilang kawalan sebelum terbabas ke bahagian kiri jalan.

"Ekoran dari kemalangan itu mangsa yang juga tercapak mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia oleh pihak ambulans yang tiba sejurus kemalangan berlaku," katanya.

Menurutnya, ketika kejadian kawasan tersebut tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV).

"Kita tidak mempunyai gambaran jelas bagaimana kejadian itu berlaku. Bagaimanapun, siasatan lanjut akan terus dilakukan. Buat masa ini motosikal mangsa dibawa ke Balai Trafik Iskandar Puteri untuk dihantar ke Puspakom bagi tujuan pemeriksaan.

"Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.