Hukuman paling maksimum jika gagal urus bahan buangan

Ahmad Masrizal (kiri) melihat paparan Rancangan Pemuliharaan Sungai Perak dari Teluk Penikam ke Muara Sungai Perak di Bagan Datuk yang dianggarkan bernilai RM60 juta.
Ahmad Masrizal (kiri) melihat paparan Rancangan Pemuliharaan Sungai Perak dari Teluk Penikam ke Muara Sungai Perak di Bagan Datuk yang dianggarkan bernilai RM60 juta.
A
A
A

BAGAN DATUK - Hukuman paling maksimum menanti pemain industri yang didapati gagal melaksanakan pengurusan bahan buangan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Timbalan Menteri Alam sekitar dan Air, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad berkata, perkara itu antara inti pati utama ditekankan dalam pindaan kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang kini sedang dilaksanakan kerajaan.

Tanpa mendedahkan denda berkenaan, menurutnya, hukuman yang diberikan itu kelak memberi satu impak pengajaran cukup baik kepada semua pihak.

"Saya tidak boleh nyatakan jumlah finya di sini kerana ia belum diluluskan lagi, tetapi yang pasti ia memang semaksimum mungkin.

"Saya berharap dengan adanya hukuman lebih berat itu, setiap premis atau kilang yang terlibat dengan industri ini mematuhi apa juga peraturan ditetapkan jabatan berkaitan," katanya pada sidang akhbar sempena lawatan kerja ke projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Bagan Datuk, di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kegiatan ejen haram pelupusan sisa buangan berjadual seperti bahan pelarut dan sisa kimia yang dikesan menjadi dalang kes pencemaran sumber air di Lembah Klang.

Beberapa pihak telah tampil menyuarakan pandangan agar hukuman lebih berat dikenakan kepada pihak industri yang gagal melaksanakan pengurusan itu.

Mengulas lanjut, Ahmad Masrizal berkata, proses pindaan akta itu sudah di peringkat akhir dan hanya menunggu untuk dibahaskan di Parlimen.

Artikel Berkaitan:

“Kita memang dalam proses untuk membuat pindaan itu (akta berkenaan) dan sudah angkat (dibawa ke) peringkat perundangan yang lebih tinggi," katanya.

"Sisa klinikal ini satu perkara berbahaya dan kita tidak boleh buangnya sebegitu sahaja.

"Jadi kepada semua pihak yang terlibat pastikan mengikut lunas dan SOP yang ditetapkan apabila mahu melakukan pelupusan (sisa) jangan hanya sekadar bawa dan terus dibakar di mana-mana tempat yang jauh daripada orang,” katanya.

Pada 30 Mac lalu media melaporkan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak menyiasat secara terperinci insiden sisa klinikal yang didapati dibuang di tempat yang tidak dibenarkan.