My iNsPark tingkat kadar peratus kitar semula

Dr Hayati (kiri) merasmikan Pelancaran My iNsPark sambil disaksikan oleh Daroyah di Dewan Jamuan Negeri Wisma Darul Aman dekat sini pada Selasa.
Dr Hayati (kiri) merasmikan Pelancaran My iNsPark sambil disaksikan oleh Daroyah di Dewan Jamuan Negeri Wisma Darul Aman dekat sini pada Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR - Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) yakin usaha untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan kitar semula akan bertambah baik di bawah Program Projek Taman Inspirasiku (My iNsPark).

Pengerusi SWCorp, Dr Daroyah Alwi berkata, kerjasama melalui pelbagai pihak seperti badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Penggerak Komuniti Negara mampu memastikan hasrat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk melihat Malaysia ke arah negara lebih bersih akan tercapai.

Menurutnya, kadar kitar semula di negeri-negeri seliaan pihaknya juga menunjukkan peningkatan yang baik termasuk pada tahun 2020 walaupun negara berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kita mensasarkan kadar kitar semula kita iaitu 32 peratus pada 2021 tapi tahun lalu dalam keadaan PKP, kita telahpun capai 30 peratus.

"Jadi dengan adanya My iNsPark dengan kerjasama NGO dan sudah menandatangani perjanjian persefahaman dengan Penggerak Komuniti Negara di seluruh negara, saya yakin kita dapat tingkatkan lagi (melebihi pencapaian 2020)," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran My iNsPark dan Menandatangani Memorandum SWCORP dengan Tujuh NGO di Dewan Jamuan Negeri Wisma Darul Aman dekat sini pada Selasa.

Hadir merasmikan program tersebut adalah Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah, Datuk Dr Hayati Othman.

Mengulas lanjut, Daroyah berkata, My iNsPark adalah program memilih taman bersama NGO untuk dijadikan sebagai model kepada taman-taman lain dengan melaksanakan program kitar semula di bawah Dasar Kebersihan Negara.

Menurutnya, antara program-program yang bakal dilaksanakan adalah 'trash to cash', kempen 3R dan mengumpul minyak masak terpakai dalam usaha untuk memupuk masyarakat menjaga kebersihan.

Artikel Berkaitan:

"Kita mahu menimbul rasa minat di kalangan masyarakat melalui taman-taman yang dipilih menerusi My iNsPark untuk dijadikan sebagai inspirasi dan bakal dikembangkan ke seluruh negara," katanya.