Lima NGO Islam kutuk peperangan di Yaman

Lima NGO Islam menyatakan sokongan masing-masing pada Pelancaran Di Ambang Hari Al-Quds Sedunia 2021 dan Hentikan Perang di Yaman di Pejabat Presiden Mapim di Bukit Jelutong di sini pada Isnin.
Lima NGO Islam menyatakan sokongan masing-masing pada Pelancaran Di Ambang Hari Al-Quds Sedunia 2021 dan Hentikan Perang di Yaman di Pejabat Presiden Mapim di Bukit Jelutong di sini pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Lima badan bukan kerajaan (NGO) Islam mengutuk peperangan di Yaman yang mengakibatkan lebih 2,000 kanak-kanak di negara itu mati kerana penyakit dan kebuluran setiap bulan.

Lima NGO terbabit ialah Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Masjid Sedunia Mempertahankan Al-Aqsa (Manar), Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura), Pertubuhan Kebajikan Rakyat Sejagat (Sejagat) dan Sekretariat Palestin Malaysia (Citizens International).

NGO itu dalam kenyataan bersama pada Isnin menegaskan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) melaporkan keadaan teruk berlaku di Yaman yang digambarkan sebagai krisis kemanusiaan terbesar di dunia.

"Sejak pembabitan tentera Arab Saudi untuk menekan pemberontakan Houthi, Yaman mengalami krisis kemanusiaan terburuk," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut walaupun sudah lima tahun berlalu namun dunia tidak memberikan perhatian yang cukup kepada Yaman ketika anak-anak di negara itu mati kelaparan.

Menurut kenyataan itu, keadaan mangsa perang Yaman tidak dapat digambarkan malah disifatkan sebagai kelaparan terburuk di dunia dalam tempoh 100 tahun lalu.

"Setiap minggu, kanak-kanak ketakutan akibat bom dan serangan udara yang telah membunuh ribuan nyawa orang awam tidak bersalah.

"Setiap hari, ahli keluarga Yaman berkabung dan tidak berdaya untuk menghentikan rasa lapar disebabkan peperangan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Justeru, NGO terbabit menggesa supaya menghentikan perang di negara berkenaan terutama ketika umat Islam bakal menyambut Ramadan tidak lama lagi.

"Kita perlu memberi tekanan kepada semua yang mencetuskan konflik peperangan termasuk Arab Saudi dan puak penentang Houthi untuk menghentikan serangan terhadap warga Yaman dan berusaha untuk menyelamatkan nyawa.

"Kami meminta semua pihak yang berperang meletakkan senjata mereka dan memberikan akses agar bantuan kemanusiaan dapat disampaikan.

"Kami berkempen untuk masyarakat Malaysia bergabung dalam usaha menuntut keamanan, gencatan senjata dan keamanan," katanya.

Mengulas mengenai pelancaran Hari Al-Quds Antarabangsa 2021, kenyataan itu memberitahu, NGO Islam mengulangi pendirian bahawa isu Al-Quds Al-Sharif adalah teras perjuangan Palestin.

Kata kenyataan itu, satu-satunya jalan keluar untuk konflik antara Arab dan negara haram Israel ialah berakhirnya penjajahan dan pengembalian Kota Al-Quds sebagai ibu kota negara Palestin.

"Kami dengan tegas menolak dan mengutuk pengakuan pemerintah Amerika Syarikat terhadap bandar Al-Quds Al-Sharif sebagai ibu kota Israel yang merupakan kuasa penjajah dan pemindahan Kedutaan Besar Amerika Syarikat Al-Quds ke Baitul Maqdis.

"Kebebasan untuk Al-Quds dan keperluan untuk mengekalkan status quo (struktur masyarakat) yang sah dan bersejarah Al-Quds dan tempat-tempat suci akan menjadi tuntutan kami untuk tahun ini," katanya.