AADK, Royale Chulan sasar empat PUSPEN bagi program Ziarah Kasih tahun depan

Rosli (kanan) menyempurnakan simbolik penyerahan Quran Corner kepada Ruslin (kiri) sambil disaksikan oleh Norliza (dua dari kiri) dan Rasthman.
Rosli (kanan) menyempurnakan simbolik penyerahan Quran Corner kepada Ruslin (kiri) sambil disaksikan oleh Norliza (dua dari kiri) dan Rasthman.
A
A
A

TASEK GELUGOR – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menyasarkan pelaksanaan empat siri program RC Ziarah PUSPEN di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) terpilih di seluruh negara tahun depan menerusi kerjasama strategik bersama Royale Chulan Hotels and Resorts.

Inisiatif itu bertujuan memperkukuh proses pemulihan dan integrasi sosial klien, khususnya dengan menyediakan peluang latihan kemahiran serta laluan kerjaya dalam sektor hospitaliti selepas mereka menamatkan program rawatan dan pemulihan.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, penglibatan sektor swasta menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) memainkan peranan penting dalam memastikan usaha pemulihan penagihan dadah dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan berkesan.

AADK mengalu-alukan komitmen Royale Chulan untuk memperluas kerjasama berkenaan ke beberapa PUSPEN lain tahun depan bagi memastikan lebih ramai klien mendapat manfaat.
AADK mengalu-alukan komitmen Royale Chulan untuk memperluas kerjasama berkenaan ke beberapa PUSPEN lain tahun depan bagi memastikan lebih ramai klien mendapat manfaat.

Menurutnya, sokongan pihak luar amat diperlukan bagi membantu bekas klien menyesuaikan diri semula dengan kehidupan bermasyarakat, selain mengurangkan risiko mereka kembali terjebak dalam penyalahgunaan dadah.

“Kerjasama seperti ini amat penting kerana proses pemulihan tidak seharusnya terhenti selepas klien keluar dari PUSPEN.

“Kita memerlukan sokongan pelbagai pihak, termasuk sektor swasta, supaya mereka mempunyai peluang untuk kembali menjalani kehidupan seperti biasa, mendapatkan pekerjaan dan menjana pendapatan sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika program CSR bertemakan ‘Daripada Pemulihan Kepada Peluang’ anjuran AADK bersama Boustead Holdings Berhad menerusi rangkaian Royale Chulan Hotels and Resorts di PUSPEN Kampung Selamat, Seberang Perai Utara di sini pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Pengerusi Boustead Holdings Berhad, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim; Ketua Pegawai Eksekutif Boustead Hotels & Resorts Sdn Bhd, Datuk Rasthman Ibrahim; Pengurus Besar, Royale Chulan Penang, Dennis Lee dan Ketua Jabatan Komersial, Pemasaran dan Komuniti Sinar Harian, Rosli Ahmad.

Rosli (kanan) dan Dennis (dua dari kiri) menanam pokok Kelapa Pandan di Anjung Bayu, PUSPEN Kampung Selamat.
Rosli (kanan) dan Dennis (dua dari kiri) menanam pokok Kelapa Pandan di Anjung Bayu, PUSPEN Kampung Selamat.

Ruslin berkata, pihaknya mengalu-alukan komitmen Royale Chulan untuk memperluas kerjasama berkenaan ke beberapa PUSPEN lain tahun depan bagi memastikan lebih ramai klien mendapat manfaat.

Empat pusat yang dikenal pasti ialah PUSPEN Kota Tinggi, PUSPEN Gambang, PUSPEN Bachok dan PUSPEN Jelebu.

Sementara itu, Norliza berkata, kerjasama berkenaan merupakan sebahagian daripada komitmen CSR pihaknya untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman industri hospitaliti dengan klien PUSPEN.

Menurutnya, pendedahan menerusi perkongsian kemahiran atau knowledge transfer itu penting bagi memberikan gambaran kepada klien mengenai peluang pekerjaan serta kemahiran yang diperlukan dalam industri berkenaan.

“Alhamdulillah, hari ini Royale Chulan bersama AADK dapat menganjurkan program di PUSPEN Kampung Selamat dengan matlamat berkongsi pengetahuan dan pengalaman industri hospitaliti kepada klien.

“Kita mahu mereka mempunyai kemahiran dan pengetahuan yang boleh dimanfaatkan selepas keluar daripada pusat pemulihan, sekali gus memberi peluang untuk mendapatkan pekerjaan serta menjana pendapatan sendiri,” katanya.

Beliau berkata, program berkenaan turut merangkumi aktiviti latihan dan perkongsian kemahiran yang membolehkan peserta memperoleh sijil selepas melengkapkan latihan ditetapkan.

Dalam perkembangan sama, Royale Chulan turut menyumbangkan tiga unit televisyen kepada PUSPEN Kampung Selamat bagi membantu menyediakan kemudahan kepada penghuni pusat berkenaan.

Norliza turut merakamkan penghargaan kepada Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) atas sokongan dan sumbangan yang diberikan bagi menjayakan inisiatif berkenaan.

Norliza
Norliza

Mengulas lanjut beliau berkata, kerjasama jangka panjang itu turut memberi tumpuan kepada peluang penempatan kerjaya, peluasan Program Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD), latihan kemahiran vokasional serta sokongan pemasaran produk SUKA AADK.

"Antara kemahiran yang akan diberi pendedahan termasuk bidang kulinari dan hospitaliti bagi menyediakan klien dengan kemahiran bersesuaian untuk memasuki pasaran pekerjaan," jelasnya.

Selain itu, produk kraftangan, bakeri dan agromakanan hasil pengeluaran klien PUSPEN akan turut diketengahkan kepada pasaran korporat serta rangkaian hotel.

Program berkenaan turut dimeriahkan dengan perlawanan bola sepak persahabatan antara pasukan pilihan klien PUSPEN Kampung Selamat menentang RCFC All Star yang dibarisi bekas pemain kebangsaan, Hardi Jaafar serta beberapa bekas pemain negeri.

Dalam pada itu, program RC Ziarah PUSPEN 2026 turut mendapat kerjasama Sinar Harian menerusi penglibatan dalam menjayakan pelbagai pengisian kebajikan dan kerohanian untuk warga pusat pemulihan berkenaan.

Program CSR bertemakan ‘Daripada Pemulihan Kepada Peluang’ dianjurkan oleh AADK bersama Boustead Holdings Berhad menerusi rangkaian Royale Chulan Hotels and Resorts di PUSPEN Kampung Selamat, Seberang Perai Utara pada Sabtu.
Program CSR bertemakan ‘Daripada Pemulihan Kepada Peluang’ dianjurkan oleh AADK bersama Boustead Holdings Berhad menerusi rangkaian Royale Chulan Hotels and Resorts di PUSPEN Kampung Selamat, Seberang Perai Utara pada Sabtu.

Menurut Rosli, antara pengisian yang diadakan ialah sesi Tadabbur al-Quran khas dengan kerjasama Credea Resource, selain sumbangan beberapa set al-Quran wakaf daripada Yayasan Warisan Ummah Ikhlas bagi pembukaan Al-Quran Corner di PUSPEN Kampung Selamat.

"Kemudahan itu diharapkan dapat dimanfaatkan seluruh warga PUSPEN sebagai medium mendekatkan diri kepada al-Quran sepanjang menjalani proses pemulihan," katanya.

Beliau berkata, kerjasama pelbagai pihak itu diharap dapat memperkukuh sokongan terhadap klien, sekali gus membantu mereka membina kehidupan baharu yang lebih positif, berdikari dan mampu menyumbang kepada masyarakat selepas menamatkan program pemulihan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!