Gangguan bekalan air: Kerja ganti injap sudah dimulakan

Kerja-kerja penggantian injap pada jajaran paip air mentah di Empangan Klang Gates telah dimulakan mengikut jadual pada jam 9 pagi Selasa.
Kerja-kerja penggantian injap pada jajaran paip air mentah di Empangan Klang Gates telah dimulakan mengikut jadual pada jam 9 pagi Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerja-kerja penggantian injap pada jajaran paip air mentah di Empangan Klang Gates yang menyebabkan henti tugas sementara di Loji Rawatan Air Bukit Nanas dan Wangsa Maju telah dimulakan mengikut jadual pada jam 9 pagi Selasa.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi satu kenyataan di Facebook memaklumkan, kerja-kerja penggantian injap itu dijangka siap pada jam 9 malam Selasa.

Menurut kenyataan itu, selepas kerja-kerja berjadual itu siap dilaksanakan, loji dan sistem agihan akan distabilkan sebelum bekalan air mula disalurkan kepada pengguna.

"Kerja-kerja penggantian ini menyebabkan gangguan bekalan air berjadual di 12 kawasan di Wilayah Gombak dan 46 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur bermula 9 pagi Selasa dan dijangka pulih sepenuhnya pada jam 5 pagi Jumaat," kata kenyataan itu pada Selasa.

Sehubungan itu, Air Selangor menggerakkan sebanyak 29 lori tangki air ke kawasan-kawasan yang terjejas dengan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis serta upacara pengebumian.

Jelas kenyataan itu, Air Selangor turut menyediakan kemudahan pembelian air kepada pihak industri atau pelanggan komersial dengan membuat pembayaran di kaunter-kaunter Khidmat Pelanggan Air Selangor.

"Pelanggan perlu menyediakan kenderaan atau lori tangki yang disewa sendiri," katanya.

Pelanggan yang ingin mendapatkan maklumat senarai kawasan terlibat, senarai Pusat Khidmat Setempat (PKS) dan maklumat Stesen-stesen Pengisian Air Komersial, boleh layari http://hentitugas.airselangor.com/

Artikel Berkaitan: