Pendigitalan pasar tani, Mukmin Pay sasar 3,000 peniaga

Salah seorang peniaga Pasar Tani Danau Kota menerima replika kad debit Bank Muamalat ketika sesi Penyerahan Kad Debit kepada Usahawan FAMA Pasar Tani Danau Kota di sini pada Ahad.
Salah seorang peniaga Pasar Tani Danau Kota menerima replika kad debit Bank Muamalat ketika sesi Penyerahan Kad Debit kepada Usahawan FAMA Pasar Tani Danau Kota di sini pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pasar Tani Danau Kota terpilih sebagai pasar tani pertama menjayakan projek pendigitalan pasar tani pertama di Malaysia oleh Mukmin Pay Sdn Bhd yang menyasarkan seramai 3,000 peniaga memanfaatkan inisiatif itu menjelang hujung tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Mukmin Pay Sdn Bhd, Mohd Yusni Ismail berkata, inisiatif melalui aplikasi 'Mukmin Mart' itu adalah projek usahasama antara pihaknya dan Koperasi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Berhad termasuk beberapa rakan strategik lain iaitu Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) serta syarikat telekomunikasi, DiGi.

Menurutnya, untuk permulaan, seramai 34 peniaga Pasar Tani Danau Kota telah mengambil bahagian dalam projek tersebut yang telah berlangsung selama sebulan.

"Setiap peniaga yang terlibat telah mendaftar akaun perniagaan dengan Bank Muamalat dan menerima kad debit serta kemudahan DuitNow QR untuk transaksi tanpa tunai. Selepas ini, kita sasarkan lebih banyak pasar tani dan peniaga terlibat dengan bergerak ke negeri-negeri lain khususnya Selangor.

"Kami mensasarkan seramai 3,000 peniaga yang akan memanfaatkan inisiatif ini menjelang hujung tahun ini," katanya pada sidang akhbar selepas sesi Penyerahan Kad Debit kepada Usahawan FAMA Pasar Tani Danau Kota di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Ketua Bahagian Perbankan Konsumer, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Zury Rahimee Zainal Abiden berkata, usaha pendigitalan pasar tani ini bagi menyokong usaha kerajaan dalam memperkasakan peniaga-peniaga kecil dan sederhana.

Katanya, penglibatan peniaga dalam projek itu membolehkan mereka memanfaatkan teknologi bagi meningkatkan pendapatan.

"Kami di Bank Mualamat memberi kemudahan pembukaan akaun dengan keperluan dokumentasi yang minima dan pengecualian caj bagi kad debit tanpa perlu ke kaunter.

Artikel Berkaitan:

"Peniaga terlibat yang dikenal pasti berpotensi akan diberi tunjuk ajar dan latihan dari segi rancangan kewangan. Dengan rekod data jualan secara digital terus ke akaun perniagaan, lebih memudahkan proses pembiayaan pinjaman pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Rakan Kongsi Strategik dan Pembangunan Perniagaan, Jabatan Perniagaan DiGi, Tony Tan Wee Beng berkata, pihaknya berbesar hati untuk turut sama menyumbang dalam projek tersebut.

"Kami menyediakan kemudahan telefon pintar 4G secara percuma bersama capaian internet yang konsisten kepada para peniaga sebagaimana yang mereka perlukan dalam usaha pendigitalan ini," katanya.