Pekerja Bangladesh maut dilanggar forklift

Pegawai penyiasat JKKP Perak sedang memeriksa forklift dan lokasi kejadian kemalangan yang mengakibat seorang warga Bangladesh maut di kilang berkenaan.
Pegawai penyiasat JKKP Perak sedang memeriksa forklift dan lokasi kejadian kemalangan yang mengakibat seorang warga Bangladesh maut di kilang berkenaan.
A
A
A

SERI ISKANDAR - Seorang pekerja warga Bangladesh maut selepas dilanggar rakan sekerja dengan sebuah forklift di sebuah kilang memproses getah, di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, mangsa yang maut, Md Milon Sheikh, 32, disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Klinik Kesihatan Bota akibat kecederaan para di bahagian dada.

Menurutnya, kejadian yang berlaku jam 11.30 pagi turut menyebabkan seorang lagi pekerja warga Bangladesh, Anuwor Hossem, 32, mengalami kecederaan akibat perlanggaran tersebut.

"Berdasarkan siasatan awal mendapati kejadian kemalangan itu dipercayai berlaku apabila semasa forklift yang dipandu seorang lelaki warga tempatan sedang membuat tugasan menyusun bahan mentah getah untuk diproses manakala dua mangsa sedang menunggu forklift tersebut untuk memunggah masuk bahan-bahan mentah yang ingin dipindahkan.

"Tiba-tiba forklift berkenaan hilang kawalan lalu terlanggar kedua-dua mangsa. Akibat kemalangan itu, mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Bota untuk rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Isnin.

Menurutnya, susulan kejadian itu, pihak polis bertindak menahan pemandu forklift tersebut bagi membantu siasatan dan dibebaskan pada Isnin.

Beliau berkata, kes tersebut masih disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak, Ir Zamzurin Maarof berkata, pihaknya telah menghantar sepasukan pegawai penyiasat untuk menjalankan siasatan terhadap kes tersebut.

Artikel Berkaitan:

Katanya, susulan siasatan awal yang dijalankan, pihak JKKP telah mengeluarkan arahan henti kerja untuk aktiviti penggunaan forklift di dalam kilang tersebut sehingga siasatan lengkap dijalankan dan mengarahkan tindakan penambahbaikan dibuat oleh pemilik premis.

"JKKP Perak akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

"JKKP memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja mahupun orang awam. Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja," katanya dalam satu kenyataan kepada media pada Isnin.

Menurut Zamzurin, majikan bertanggungjawab untuk mengenalpasti terlebih dahulu bahaya-bahaya di tempat kerja, membuat analisa risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja.

Beliau berkata, tindakan itu dibuat bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan mengelakkan berlakunya kemalangan.

Jelasnya, kejadian seumpama itu boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC).