47 kes KKP dibawa ke mahkamah

Awang Hashim
Awang Hashim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 47 kes membabitkan pelbagai pelanggaran peraturan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) berkaitan kemalangan di tempat kerja telah dibawa ke mahkamah dari Januari hingga 28 Mac tahun ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim berkata, ada antara kes yang dikendalikan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) itu telah selesai manakala sebahagian lagi masih berjalan dan setakat ini sebanyak RM740,400 denda telah dikutip membabitkan kes-kes berkenaan.

“Selain itu, sebanyak 159 kompaun bernilai RM770,500 juga telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan yang melanggar peraturan KKP sepanjang tempoh yang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani komitmen KKP oleh pemaju, pereka bentuk dan kontraktor projek pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di sini pada Isnin.

Terdahulu, Awang mengadakan perbincangan dengan 14 syarikat pemaju, pereka bentuk dan kontraktor projek pembinaan lebuh raya SUKE mengenai pendekatan yang diambil bagi meningkatkan keselamatan di tapak pembinaan.

“Melalui perbincangan, kita cuba melihat dan berkongsi pendekatan untuk menambah baik sistem sedia ada supaya insiden di tapak pembinaan lebuh raya tidak berulang,” katanya.

Mengenai komitmen KKP yang ditandatangani itu, Awang berkata ia bagi meningkatkan keyakinan pekerja terhadap keselamatan di tempat kerja dan juga orang awam yang terdedah kepada kerja pembinaan.

Pada 22 Mac lepas, tiga pekerja binaan terbunuh manakala seorang lelaki cedera parah selepas struktur besi kren jatuh di atas sebuah kereta di tapak pembinaan Lebuhraya SUKE berhampiran Persiaran Alam Damai, Cheras. - Bernama

Artikel Berkaitan: