Sektor hartanah rekod transaksi bernilai RM119.08 bilion tahun lepas

Tengku Zafrul Abdul Aziz
Tengku Zafrul Abdul Aziz
A
A
A

KAJANG - Sektor hartanah negara merekodkan 295,968 transaksi bernilai RM119.08 bilion pada 2020, susut 9.9 peratus dari segi bilangan dan 15.8 peratus dari segi nilai daripada angka yang dicatatkan pada 2019.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata prestasi penurunan yang ketara itu adalah berikutan kesan pandemik Covid-19.

"Penurunan ini dikaitkan dengan bilangan transaksi yang terjejas bagi pelbagai subsektor yang mencatatkan penguncupan di antara 2.6 peratus dengan 24 peratus.

"Ini juga dikaitkan dengan bilangan dan nilai transaksi yang menurun di bandar-bandar utama di Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang, dengan empat negeri ini membentuk hampir separuh daripada jumlah keseluruhan transaksi kediaman," katanya ketika melancarkan Laporan Pasaran Harta 2020 di sini, pada Isnin.

Beliau berkata, segmen pelancaran kediaman baharu terjejas berikutan, antara lain, penangguhan pelancaran oleh pemaju kerana lebih memberi tumpuan terhadap jualan inventori sedia ada.

Sepanjang 2020, hanya sekitar 47,000 unit hartanah kediaman telah dilancarkan berbanding dengan 60,000 unit pada 2019, katanya.

Beliau berkata, prestasi jualan juga lebih rendah dengan hanya 28.7 peratus unit dijual berbanding dengan 40.7 peratus pada tahun sebelumnya.

Tengku Zafrul berkata bagaimanapun, di sebalik penurunan ini, keberkesanan dan keberhasilan langkah segera kerajaan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dapat dilihat melalui peningkatan aktiviti pasaran perumahan yang mula pulih semenjak penghujung suku kedua 2020.

Artikel Berkaitan:

"Jumlah urus niaga meningkat pada kadar yang setanding dengan pertumbuhan purata suku tahunan yang dilihat sebelum tercetusnya pandemik Covid-19," katanya.

Beliau berkata, persekitaran kadar faedah yang rendah turut menggalakkan pembelian kediaman sendiri dan bagi tujuan pelaburan.

Sementara itu, terdapat 29,565 unit siap dibina tidak terjual bernilai RM18.92 bilion, berkurangan 3.6 peratus dari segi bilangan berbanding angka pada 2019, tetapi nilainya meningkat 0.5 peratus, katanya.

Melangkah ke hadapan, Tengku Zafrul berkata sektor hartanah dijangka pulih selari dengan pertumbuhan ekonomi yang diunjurkan di antara 6.0 peratus dengan 7.5 peratus tahun ini.

Beliau berkata ini akan didorong oleh fokus dan strategi ekonomi oleh kerajaan dengan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan akan membolehkan lebih banyak sektor ekonomi beroperasi dan juga memulihkan pasaran buruh. - Bernama