Dua tekong darat, empat PATI dicekup di rumah kongsi

No Image Caption
A
A
A

KOTA TINGGI - Dua lelaki warga asing disyaki bertindak sebagai tekong darat ditahan bersama empat pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam serbuan di sebuah rumah kongsi di Padang Pasir Logok, Jalan Tenggaroh Selatan di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, serbuan kira-kira jam 1.30 pagi itu dilakukan anggota bahagian siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi.

Beliau berkata, tekong darat warga Indonesia yang ditangkap itu merupakan ahli sindiket 'Geng Cupeng' yang melakukan kegiatan penyeludupan migran di Kawasan Bandar Penawar dan Kuala Sedili.

"Tekong darat berusia 29 dan 46 tahun itu dipercayai bertindak membawa PATI dari Indonesia masuk dan keluar ke Malaysia.

"Turut ditangkap ialah empat PATI berusia lingkungan 27 hingga 55 tahun yang bersembunyi di dalam rumah tersebut," katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.

Hussin berkata, ketika serbuan, pihaknya merampas lima buah telefon bimbit pelbagai jenama, wang tunai sebanyak RM3,000 dan mata wang Indonesia berjumlah 2.035 juta rupiah (RM570).

Menurutnya, kedua-dua tekong darat berkenaan direman selama 28 hari mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) atau SOSMA.

"Kesemua PATI direman selama 14 hari. Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/1963 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) dan Seksyen 6 (1) (C) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel Berkaitan: