Kedah peruntuk RM2.1 juta untuk guru al-Quran

Muhammad Sanusi (kiri) ketika hadir pada Pelancaran Ihya Ramadan Daerah Sik di Masjid Al-Muhtadin, Sik Dalam pada Ahad.
Muhammad Sanusi (kiri) ketika hadir pada Pelancaran Ihya Ramadan Daerah Sik di Masjid Al-Muhtadin, Sik Dalam pada Ahad.
A
A
A

SIK - Kerajaan negeri Kedah memperuntukkan sebanyak RM2.1 juta untuk diagihkan kepada guru al-Quran sempena Ramadan tahun ini sebagai tanda menghargai khidmat dan bakti mereka kepada masyarakat.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sumbangan itu akan disampaikan menerusi 578 buah masjid di negeri ini membabitkan kira-kira 150 penerima bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurutnya, turut disenaraikan sebagai penerima ialah bidan kampung dan tukang mandi jenazah.

"Sebagai tanda ingatan, kerajaan negeri menyediakan sumbangan berupa wang tunai bernilai RM200 dan barangan keperluan bernilai RM50 bagi menghargai jasa dan pengorbanan mereka yang memberi khidmat kepada masyarakat secara sukarela," katanya ketika hadir pada Pelancaran Ihya Ramadan Daerah Sik di Masjid Al-Muhtadin, Sik Dalam pada Ahad.

Menurut Muhammad Sanusi, pemberian sumbangan kepada golongan itu telah menjadi tradisi kerajaan negeri Kedah sejak 2008.

"Tahun lepas tidak ada (bantuan) berikutan penularan pandemik Covid-19, namun kita teruskan tahun ini sebagai tanda penghargaan kepada mereka," katanya.

Katanya, pihaknya telah meminta wakil rakyat dan pejabat daerah di setiap kawasan untuk menyelaraskan pemilihan penerima yang memenuhi syarat dikemukakan.

Sebelum itu, Muhammad Sanusi menyampaikan sumbangan sebanyak RM1,000 kepada masjid di daerah Sik selain melancarkan Ihya Ramadan peringkat daerah Sik di sini.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, aktiviti sepanjang Ramadan boleh dilaksanakan di masjid dan surau di Kedah, namun mengingatkan agar semua pihak perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.