THT julang Piala TNB

Pemain THT meraikan detik kemenangan mereka selepas berjaya menjuarai perlawanan akhir TNB Liga Hoki Kebangsaan 2021 setelah mengalahkan pasukan UniKL di Stadium Hoki Bukit Jalil pada Sabtu. - Foto Bernama
Pemain THT meraikan detik kemenangan mereka selepas berjaya menjuarai perlawanan akhir TNB Liga Hoki Kebangsaan 2021 setelah mengalahkan pasukan UniKL di Stadium Hoki Bukit Jalil pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pasukan Hoki Terengganu (THT) menggagalkan misi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) untuk merangkul tiga kejuaraan buat kali kedua, apabila ia menjulang Piala TNB menerusi penentuan pukulan penalti pada perlawanan akhir di Stadium Hoki Nasional di sini malam tadi.

Selepas memperoleh Piala Sumbangsih dan menjadi juara liga MHL 2021, UniKL berharap untuk melengkapkan tiga kejuaraan buat kali kedua tetapi THT menewaskan mereka 2-0 menerusi penentuan pukulan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 4-4 untuk menjadi juara Piala TNB buat kali keenam dalam perlawanan akhir yang penuh dramatik.

UniKL selaku juara bertahan bermula dengan baik apabila menjaringkan gol awal menerusi percubaan penyerang veteran Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil pada minit kesembilan dan pemain berusia 35 tahun itu menggandakan jaringan selepas menyempurnakan pukulan penalti empat minit kemudian.

Pemain THT berjaya menjaringkan gol pertama melawan pasukan UniKL pada perlawanan akhir TNB Liga Hoki Kebangsaan 2021 di Stadium Hoki Bukit Jalil pada Sabtu. - Foto Bernama
Pemain THT berjaya menjaringkan gol pertama melawan pasukan UniKL pada perlawanan akhir TNB Liga Hoki Kebangsaan 2021 di Stadium Hoki Bukit Jalil pada Sabtu. - Foto Bernama

Beberapa saat sebelum berakhir suku pertama permainan, penyerang utama THT Faizal Saari mengurangkan jurang gol dalam perlawanan yang disaksikan kira-kira 100 penyokong.

Melangkah empat minit suku kedua, pasukan pantai timur itu mula mengasak UniKL untuk menambah jaringan dan Arif Syafie Ishak menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-17 serta gol padang Mohamad Akhimullah Anuar Esook pada minit ke-19.

Kedua-dua pasukan mula mengambil langkah berhati-hati apabila masuk suku ketiga tetapi pemain pertahanan kebangsaan Muhammad Razie Abdul Rahim berjaya menyamakan kedudukan 3-3 untuk UniKL menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-35.

Faizal yang merupakan penyerang kebangsaan sekali lagi meletakkan THT di hadapan dengan kedudukan 4-3 pada minit ke-38 dan muncul penjaring gol terbanyak musim ini dengan 16 gol, tetapi jaringan Mohamad Ashran Hamsani pada minit ke-51 sekali lagi mengikat kedudukan jaringan memaksa penentuan pukulan penalti dilakukan bagi menentukan juara kali ini.

Artikel Berkaitan:

THT membawa pulang piala, pingat dan RM25,000 selaku juara Piala TNB sementara UniKL menerima RM50,000 sebagai juara liga dan RM15,000 sebagai naib juara Piala TNB.

“Kami bermula dengan langkah yang sumbang tetapi mampu bangkit daripada ketinggalan dua gol... ia adalah tugas sukar sepanjang perlawanan dan pada satu masa mendahului 4-3 tetapi kami kehilangan penguasaan permainan dan membiarkan mereka menyamakan kedudukan.

Perlawanan pada malam ini adalah menarik dan seimbang buat kedua-dua pasukan. Saya fikir sejak mula perlawanan pertama musim ini sehingga final tidak banyak perbezaan antara THT dan UniKL sebagaimana disaksikan pada malam ini,” kata Ketua Jurulatih THT K Rajan selepas tamat perlawanan.

Sementara itu Tenaga Nasional Bhd (TNB) mengakhiri kejohanan ini di tempat ketiga dengan menewaskan Maybank dalam perlawanan penentuan tempat ketiga-keempat dengan gol padang tunggal dijaringkan Muhajir Abd Rauf pada minit ke-31.

Terdahulu dalam final Piala Vivian May Soars, PKS Uniten-KPT berjaya mempertahankan kejuaraan dengan kemenangan tipis 1-0 ke atas pendatang baharu UniKL Ladies.

Pukulan sudut penalti Nurul Faezah Shafiqah Khalim pada minit ke-54 cukup buat pasukan bimbingan Lailin Abu Hassan menjulang piala itu buat kali keempat selepas menikmati kejayaan dalam edisi sulung kejohanan itu pada 2015, seterusnya pada 2018 dan 2020.

PDRM Blue Warriors membelasah Sabah 4-0 menerusi jaringan Nadia Abdul Rahman pada minit ke-39, Norhasikin Halim (minit ke-52), Norbaini Hashim (minit ke-57) dan Auni Atikah Gahni (minit ke-60) pada perlawanan penentuan tempat ketiga. - Bernama