'Cukup-cukuplah berpecah, mari hadapi pilihan raya bersama-sama'

Tuan Ibrahim
Tuan Ibrahim
A
A
A

KUALA NERUS - "Cukup-cukuplah kita berpecah. Sudah lama... 50, 60 tahun. Mari kita hadapi pilihan raya bersama-sama," kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Katanya, sehingga kini Pas masih mengekalkan kerjasama dengan UMNO malah parti itu akan terus mempertahankan penyatuan ummah sebagaimana dimeterai menerusi deklarasi Muafakat Nasional (MN).

"Kita sudah berbincang dalam mesyuarat harian parti dan kita kekal dengan asas yang kita persetujui sebagaimana tuan guru presiden maklum, kita nak penyatuan ummah dipertahankan sebagaimana gagasan dalam deklarasi MN.

"Antara yang dipersetujui ialah kita sedia menerima mana-mana parti lain dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk bersama dalam penyatuan ummah, itu asasnya.

"Pas berpegang kepada kaedah itu, Pas dan UMNO kita masih ada hubungan dan kita masih bermesyuarat bersama, " katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Ekspedisi Sungai Nerus, di jeti Kampung Tanjung Sabtu pada Sabtu.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim turut menyangkal dakwaan bahawa tindak-tanduk Pas lebih kepada memilih Bersatu serta menampakkan hasrat menghentikan kerjasama dengan UMNO.

"Muafakat Nasional masih berjalan dan dalam masa sama, Pas merupakan parti dalam komponen Perikatan Nasional (PN) sebab itulah apabila Setiausaha Agung Pas keluarkan kenyataan bersama Setiausaha Agung Bersatu, ia adalah perkara biasa kerana Pas bersama PN sebagai sebuah parti berdaftar.

"Kenyataan itu sebaliknya dilihat ibarat satu ancaman untuk UMNO, sebenarnya tidak. Orang rasa pelik sebab mungkin ia tidak pernah berlaku sebelum ini sehingga ada yang menganggap seolah-olah kita menolak UMNO, sebenarnya tidak sebab UMNO sudah ada Barisan Nasional (BN) dan mereka telah membuat kenyataan akan bertanding atas tiket BN.

Artikel Berkaitan:

"Pas menghargai hak mereka untuk bertanding guna lambang BN tetapi bukan bermaksud kita putus hubungan. Kita masih lagi bersama," katanya.

Beliau turut menegaskan Pas akan terus mengekalkan kerjasama dalam Muafakat Nasional serta menyokong kerajaan sedia ada.

"Kita boleh dukung bersama kerajaan yang ada, menolak kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan dan rakyat gembira dengan perubahan berlaku, kenapa kita tak boleh kekalkan.

"Bagi kami, jalan dan ruang masih ada. Saya kenal kawan-kawan dalam UMNO walaupun mereka meluahkan hasrat berbeza tetapi muafakat perbincangan terus berjalan.

"Pas juga merasa dihargai apabila UMNO buat kenyataan enggan memutuskan hubungan dengan Pas, sedia terima Pas. Bersatu juga bersedia terima Pas. Sekarang peranan Pas supaya UMNO dan Bersatu dapat duduk bersama ke arah persiapan PRU-15," katanya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim menyuarakan keyakinan bahawa Muafakat Nasional masih boleh diselamatkan biarpun kini dilihat agak goyah dan berdepan pelbagai kemelut.

"Saya yakin kerana Muafakat Nasional bukan sebuah kerangka politik, ia ialah penyatuan umat mengatasi kerangka parti politik.

"Sebab itu dalam Muafakat Nasional kita turut melibatkan NGO kerana ia adalah satu kerangka yang lebih besar daripada sedia ada," katanya.