Pengendali Perak FC II kecewa

Perak FC II berjaya menundukkan Selangor FC 2 dengan jaringan 4-3 pada aksi Liga Premier 2021 di Stadium Perak petang tadi.- Foto FB Perak FC
Perak FC II berjaya menundukkan Selangor FC 2 dengan jaringan 4-3 pada aksi Liga Premier 2021 di Stadium Perak petang tadi.- Foto FB Perak FC
A
A
A

IPOH - Walaupun Perak FC II berjaya memenangi perlawanan Liga Premier 2021 di Stadium Perak di sini dengan menundukkan Selangor FC 2 dengan jaringan 4-3, namun pengendali pasukan itu tidak berpuas hati dengan prestasi pemainnya.

Pengendali pasukan Perak FC II, Syamsul Mohd Saad berkata, beliau meminta pemain individu terbabit untuk bangkit daripada kealpaan, dan tidak mengambil mudah dalam setiap langkah permainan.

“Saya amat bersyukur atas kemenangan dicapai pada petang tadi, tetapi saya rasa pasukan kami boleh main dengan lebih baik, dari segi kualiti permainan terutama kualiti individu saya rasa paling teruk, maksud saya hantaran kita semasa separuh masa hilang bola,” katanya pada sidang media selepas tamat permainan di sini hari ini.

Katanya, antara faktor kejayaan pasukan itu kali ini selepas empat kekalahan berturut-turut musim ini termasuklah, penstrukturan formasi pemainnya iaitu 3-4-3 berbanding 4-3-3 bermula sejak perlawanan terakhir sebelum ini, iaitu ketika menentang Johor Darul Ta’zim II (JDT II) pada 20 Mac lepas.

“Bermula sewaktu menentang JDT II, kita lebihkan pertahanan di bahagian tengah padang dan alhamdulillah kali ini ia berhasil cuma seperti melawan JDT II sebelum ini, pemain saya masih tiada bisa terutama sewaktu ‘hantaran lintang’ di gawang gol.

“Pertahanan tiada cabaran, tiada penjagaan dan tiada langsung sentuhan walaupun sewaktu hantaran lintang dilakukan, walaupun kita ada tiga pemain untuk ‘jaga’ seorang pemain lawan. Sewaktu dengan JDT II, tiga gol berjaya mereka bolosi disebabkan ini, dan malangnya ia masih berlaku juga petang ini,” katanya.

Syamsul berkata, selepas kecewa dengan kualiti pertahanan pasukannya ketika hantaran bola, beliau berharap ia akan diperbaiki dalam perlawanan seterusnya pada 6 April ini di laman sendiri, menentang Terengganu FC II.

Sementara itu, pengendali pasukan Selangor FC 2 Micheal Feichtenbeiner berkata, pasukannya akan berusaha mendapatkan kembali mata pada perlawanan menentang Sarawak United FC pada minggu hadapan. - Bernama

Artikel Berkaitan: