Pusingan kedua Cub Prix masih tanpa penonton

Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas di Litar Sepang Utara pada 3 dan 4 April ini tetap diteruskan walau tanpa kehadiran penonton.
Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas di Litar Sepang Utara pada 3 dan 4 April ini tetap diteruskan walau tanpa kehadiran penonton.
A
A
A

KEJUARAAN Cub Prix Malaysia Petronas yang dijadualkan berlangsung di Litar Sepang Utara mulai 3 hingga 4 April 2021, akan tetap diteruskan walau tanpa kehadiran penonton.

Pengarah Safe Aim Mutual Sdn Bhd, Ron Hogg berkata, pihaknya akur dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

Menurut Hogg, pihaknya akan berusaha sedaya upaya untuk mematuhi SOP berkenaan demi memastikan keselamatan orang ramai terjamin.

"Kami membuat keputusan untuk mengikuti SOP tanpa penonton buat masa ini. Secara tidak langsung, ia akan memberikan lebih masa kepada kami untuk membuat persiapan yang sepatutnya sebelum penonton dibenarkan hadir menyaksikan perlumbaan.

"Selain itu, pihak penganjur akan lebih bersedia bagi memastikan suasana yang selamat untuk semua," katanya.

Hogg berkata, Kejuaraan Cub Prix akan bercuti dua bulan selepas pusingan kedua ini untuk menghormati bulan Ramadan dan Syawal.

Pusingan kedua musim 2021 akan bermula dengan pemburuan takhta Kategori Premiere CP150 oleh pelumba ONEXOX TKKR Racing Team, Mohd Muzakkir Mohamed.

Dalam kategori pertengahan CP125 pula, juara bertahan Mohd Syafiq Rosli dan Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor masih dominan apabila berjaya meragut bendera kemenangan pada pusingan pembuka tirai dua minggu lalu.

Artikel Berkaitan:

Bagi kategori Wira KBS pula, Petronas Sprinta Yamaha 31 Racing cukup dominan pada pusingan pertama kali ini, apabila ketiga-tiga pelumba pasukan, Mohd Syamil Amsyar Iffende, Danial Johan serta Mohd Aqil Danial Nasrul berjaya menamatkan perlumbaan pada kedudukan pertama sehingga ketiga dalam perlumbaan Wira Akhir.

Pusingan kedua di Litar Sepang Utara akan bermula dengan sesi latihan dan kelayakan pada Sabtu.

Perlumbaan akhir akan bermula dari jam 12 tengah hari pada Ahad, 4 April.