Malaysia, China ibarat sebuah keluarga

Malaysia-China tandatangani MoU wujudkan jawatankuasa peringkat tinggi untuk galak kerjasama dalam era pasca Covid-19.
Malaysia-China tandatangani MoU wujudkan jawatankuasa peringkat tinggi untuk galak kerjasama dalam era pasca Covid-19.
A
A
A

NANPING - China menyifatkan Malaysia bagaikan jiran, saudara dan sahabat yang baik sejak lebih 1,000 tahun lalu, kata Menteri Luar Wang Yi.

Selaku Ahli Dewan Negara beliau berkata, kerjasama antara kedua-dua negara memperlihatkan hasil memberangsangkan dalam tempoh setahun lalu, sementara ikatan persahabatan terus diperkasakan.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan rundingan bersama rakan sejawatannya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di Nanping, wilayah Fujian pada Khamis.

Wang menzahirkan kesediaan China untuk bersama Malaysia menggalakkan pembangunan berkualiti Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) bagi memberi lebih banyak manfaat kepada rakyat kedua-dua negara, di samping memelihara momentum kerjasama yang baik di Asia Timur serta mendorong kedamaian dan kemakmuran rantau Asia Pasifik.

China juga bersedia mengekalkan pertukaran pelbagai peringkat dengan Malaysia, meningkatkan kerjasama dalam penyelidikan vaksin Covid-19 dan ubat-ubatan berkaitan, selain meneruskan rundingan untuk saling memperakui kod QR kesihatan.

Dalam pada itu katanya, kedua-dua negara perlu mempertingkat penyelarasan strategi pembangunan, menggalakkan kerjasama melibatkan projek berskala besar serta bersinergi dalam penaiktarafan industri dan pembangunan dipacu inovasi.

Wang turut menyentuh mengenai keperluan meneroka titik pertumbuhan baharu dalam bidang 5G dan ekonomi digital, selain memperluas kerjasama membabitkan pertanian moden, pemprosesan bahan makanan dan pensijilan halal.

Beliau berharap Tahun Budaya dan Pelancongan China-Malaysia dapat diraikan dengan jayanya, manakala kerjasama kedua-dua negara dalam bidang keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang diperkukuh.

Artikel Berkaitan:

Hishammuddin menyampaikan penghargaan kepada China atas bantuan yang dihulurkan sepanjang tempoh melawan pandemik.

Bantuan tersebut secara tidak langsung mencerminkan maksud sebenar slogan “Malaysia dan China ibarat sebuah keluarga”, ujarnya.

Beliau berkata, usaha sama berorientasikan BRI melonjakkan lagi hubungan kedua-dua negara ke satu tahap baharu.

Malaysia mahu belajar daripada pengalaman China dalam mengawal wabak, sambil mempergiat kerjasama pelbagai bidang termasuk tenaga, pelaburan dan keselamatan bahan makanan di bawah kerangka BRI.

Kedua-dua pihak turut menandatangani memorandum persefahaman mengenai penubuhan jawatankuasa peringkat tinggi bagi mempergiat kerjasama pasca pandemik. - Bernama