Pendirian Malaysia konsisten, tidak berubah isu Laut China Selatan

Kenyataan media yang dikeluarkan Wisma Putra
Kenyataan media yang dikeluarkan Wisma Putra
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Malaysia tegas dan komited untuk mempertahankan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan Malaysia di dalam kawasan maritimnya di Laut China Selatan, seperti yang terkandung dalam Peta Baru Malaysia 1979.

Wisma Putra dalam satu kenyataan pada Sabtu memaklumkan, pendirian negara berkenaan Laut China Selatan juga adalah konsisten dan kekal tidak berubah.

“Malaysia berpendirian teguh bahawa isu-isu berkaitan Laut China Selatan mesti diselesaikan secara aman dan konstruktif, berdasarkan undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen BangsaBangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut 1982 (KUUL 1982).

“Rujukan kepada ‘rundingan’ semasa Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri di Parlimen pada 4 April lalu, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) bermaksud sebarang isu berkaitan Laut China Selatan perlu dibincangkan atau diselesaikan secara aman menggunakan platform sedia ada.

“Ia juga mesti melalui saluran diplomatik dan tanpa menjejaskan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan negara untuk mengelakkan sebarang peningkatan ketegangan (escalation) dan ancaman atau penggunaan kekerasan (threat or use of force),” menurut kenyataan itu.

Wisma Putra juga menjelaskan, dalam usaha bersama demi memastikan Laut China Selatan kekal sebagai laut yang aman, stabil dan selamat untuk laluan perdagangan, maka dalam konteks ini Malaysia akan terus mengambil pendekatan diplomatik dalam urusannya dengan lain-lain negara termasuk China.

Pendekatan ini katanya, adalah selaras dengan peruntukan yang terkandung di dalam Deklarasi Tatalaku Pihak–pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DOC).

“Antara kandungannya adalah penyelesaian konflik dengan aman dan mengelakkan ancaman atau penggunaan kekerasan seperti yang dipersetujui oleh negara-negara anggota ASEAN dan China pada tahun 2002.

“Pendekatan rundingan juga sedang diambil negara-negara anggota ASEAN dan China untuk memuktamadkan sebuah Kod Tatalaku di Laut China Selatan.

“Negara-negara anggota ASEAN dan China komited terhadap proses ini bagi menghasilkan sebuah Kod Tatalaku berdasarkan undang-undang antarabangsa, termasuk KUUL 1982,” tegas Wisma Putra.