Gabungan UMNO, Bersatu dilihat tidak kukuh pada masa depan

Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan
Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat tidak kukuh pada masa depan kerana kedua-dua parti itu mempunyai agenda yang sama.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, jika kerjasama tersebut masih diteruskan untuk lima tahun lagi, maka akan berlaku konflik antara UMNO dan Bersatu.

Menurutnya, keadaan turut diburukkan lagi apabila kedua-dua parti mewakili orang Melayu itu bersaing untuk kawasan dan pengundi yang sama.

“Kalau kita bersama dengan Bersatu, lima tahun lagi. Sebab Bersatu dengan UMNO ini kita cuba untuk mengatasi antara satu sama yang lain.

“Sebab kawasan yang sama, pengundi yang sama. Jadi, saya kira rakyat tidak mahu lagi lima tahun politik yang tidak stabil,” katanya ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian Siri Ke-244 yang bertajuk 'PN Kekal Stabil Tanpa UMNO’ yang disiarkan menerusi dalam talian pada Khamis.

Wacana turut menampilkan Ahli Majlis Tinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman dan Penganalisis Politik, Dr Sharifah Syahirah Syed Sheikh manakala Ahmad Fahmi Mohd Samsudin sebagai moderator.

(Dari kiri) Ahmad Fahmi, Abdul Rahman, dan Muhammad Faiz dalam Wacana Sinar Harian Siri Ke-244 bertajuk 'PN Kekal Stabil Tanpa UMNO’ manakala Sharifah Syahirah bersiaran secara dalam talian.
(Dari kiri) Ahmad Fahmi, Abdul Rahman, dan Muhammad Faiz dalam Wacana Sinar Harian Siri Ke-244 bertajuk 'PN Kekal Stabil Tanpa UMNO’ manakala Sharifah Syahirah bersiaran secara dalam talian.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, UMNO mengambil risiko berpecah dengan Bersatu bagi memberi peluang kepada rakyat untuk memilih parti yang sesuai.

Artikel Berkaitan:

“Bila kita tidak bekerjasama, UMNO dan Barisan Nasional (BN) ingin menawarkan satu pilihan kepada rakyat. Kalau mereka mahukan kestabilan politik, undilah BN berdasarkan pengalaman kita dan untuk melahirkan kerajaan stabil.

“Kalau pilihan ini dibuat, rakyat akan dapat memilih sebuah koalasi yang boleh melahirkan kerajaan yang stabil. Bila kerajaan stabil itu ada, maka kestabilan ekonomi itu wujud,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Bersatu sepatutnya senang hati apabila UMNO tidak lagi bersama dengan parti berkenaan.

“Agaknya Bersatu sepatutnya senang hati dan gembira kerana mereka mempunyai peluang untuk bertanding di semua kawasan termasuk kawasan-kawasan yang telah melompat kepada Bersatu daripada UMNO itu yang dituntut oleh UMNO sendiri.

“Kita buat saja kerja kita. Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti kita yakin dan percaya bahawa rakyat Malaysia akan memilih sebuah parti yang mempunyai pengalaman, yang mempunyai dasar betul dan dapat menaikkan semula ekonomi di negara kita ini.

“Ini yang BN dan UMNO akan tawarkan kepada rakyat berdasarkan pengalaman kita,” katanya.