Henti stigma tibi 'penyakit santau'

Rahmad (tengah) ketika menyempurnakan sambutan Hari Tibi Sedunia Peringkat Negeri di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini, pada Jumaat.
Rahmad (tengah) ketika menyempurnakan sambutan Hari Tibi Sedunia Peringkat Negeri di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini, pada Jumaat.
A
A
A

MELAKA - Sebanyak 524 kes tibi dan 49 kematian direkodkan di negeri ini sepanjang tahun lalu dan data itu menunjukkan trend membimbangkan.

Exco Kesihatan dan Antidadah, Datuk Rahmad Mariman berkata, stigma dan kepercayaan masyarakat bahawa batuk kering itu merupakan penyakit santau atau buatan orang perlu ditolak dan segera melakukan saringan serta rawatan awal bagi merawat penyakit itu.

Katanya, pengesanan awal penyakit tibi sangat penting untuk mengawal penularan penyakit sekali gus menyahut saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menamatkan epidemik berkenaan menjelang tahun 2035.

"Penyakit tibi atau tuberculosis tidak boleh dipandang ringan dan semua pihak harus menggembleng tenaga bagi memerangi penyakit ini.

"Jangkitan seperti batuk berterusan lebih dua minggu, batuk berdarah, hilang selera makan, susut berat badan, demam dan berpeluh terutama pada waktu petang dan malam perlu mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan yang berdekatan," katanya.

Rahmad berkata demikian ketika menyempurnakan sambutan Hari Tibi Sedunia Peringkat Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini, pada Jumaat.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Ismail Ali dan Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Rusdi Abdul Rahman.

Jelas Rahmad, penyakit tibi boleh berjangkit dan menyerang sesiapa sahaja termasuk kanak-kanak.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, data tahun lalu merekodkan golongan yang paling berisiko dijangkiti membabitkan perokok iaitu sebanyak 37 peratus, pesakit kencing manis (26 peratus) dan 13 peratus lagi membabitkan warga emas.

"Pesakit yang telah memulakan rawatan perlu menghabiskannya selama sekurang-kurangnya enam bulan dan rawatan yang terhenti boleh merebak semula kuman itu kepada masyarakat," katanya.