Maqis tahan 1,600kg makanan kucing

Sebahagian makanan kucing yang ditahan di ICQS Bukit Kayu Hitam pada Rabu kerana tidak mempunyai permit sah. FOTO IHSAN MAQIS
Sebahagian makanan kucing yang ditahan di ICQS Bukit Kayu Hitam pada Rabu kerana tidak mempunyai permit sah. FOTO IHSAN MAQIS
A
A
A

BUKIT KAYU HITAM - Makanan kucing seberat 1,600 kilogram (kg) dari Thailand ditahan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam pada Rabu kerana tidak mempunyai permit sah.

Pengarah Maqis Kedah, Lily Rosalind berkata, makanan haiwan tersebut dibawa oleh sebuah lori dan ditahan oleh anggotanya pada jam 4.45 petang pada hari kejadian.

Menurutnya, hasil pemeriksaan rutin yang dilakukan terhadap lori tersebut terdapat sebanyak 200 kotak makanan haiwan yang dianggarkan bernilai RM8,641 cuba dibawa masuk ke Malaysia untuk pasaran tempatan.

"Kesemua barangan tersebut dirampas untuk tindakan lanjut kerana tidak mempunyai sebarang dokumen dan permit import yang sah daripada Maqis," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Rosalind berkata, perbuatan mengimport tanpa suatu permit yang dikeluarkan oleh Jabatan Maqis telah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

Menurutnya, jika sabit kesalahan,pengimport boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 6 tahun atau kedua - duanya sekali di bawah Seksyen 11(3), akta yang sama.

"Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] digunapakai bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan mematuhi aspek kesihatan manusia serta dapat mengawal kemasukan penyakit merbahaya yang boleh mengancam industri perikanan negara," katanya.

Artikel Berkaitan: