MITI siasat dakwaan anti-lambakan dawai keluli dari China

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan telah menerima satu petisyen daripada Southern PC Steel Sdn Bhd bagi memulakan penyiasatan anti-lambakan ke atas pengimportan dawai keluli berlembar bagi konkrit prategasan dari China.

Dalam kenyataan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, pempetisyen mendakwa dagangan subjek itu telah dilambakkan ke Malaysia dengan harga yang lebih rendah daripada yang dijual di pasaran domestik China dan telah mengakibatkan kemudaratan material kepada industri tempatan di Malaysia.

“Pempetisyen mendakwa bahawa lambakan import dagangan subjek itu telah meningkat dari segi jumlah kuantiti dan telah mengakibatkan kemudaratan material kepada industri tempatan.

“Kerajaan telah mempertimbangkan bukti-bukti lambakan, kemudaratan serta hubungkait di antara kedua-duanya dan memutuskan untuk memulakan penyiasatan anti-lambakan ke atas import dagangan subjek itu dari negara tersebut,” katanya.

Selaras dengan Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993 dan Peraturan yang berkaitan, suatu penentuan awal akan dibuat dalam tempoh 120 hari dari tarikh pemulaan siasatan.

“Sekiranya penentuan awal didapati afirmatif, kerajaan akan mengenakan duti anti-lambakan sementara mengikut kadar yang ditetapkan untuk menghalang kemudaratan yang berterusan kepada industri tempatan,” katanya.

Sehubungan itu, MITI akan mengedarkan borang soal selidik kepada pihak berkepentingan - pengimport, pengeluar asing, pengeksport dan persatuan.

Pihak berkepentingan lain juga boleh mendapatkan borang soal selidik tersebut tidak lewat daripada 15 April 2021 dengan menulis kepada MITI.

Artikel Berkaitan:

“Pihak berkepentingan boleh memberi pandangan, menjawab soal selidik dan bukti tambahan bagi menyokong siasatan ini secara bertulis kepada MITI sebelum 30 April 2021.

“Sekiranya tiada maklum balas diterima dalam tempoh yang ditetapkan, kerajaan boleh membuat penentuan awal berdasarkan fakta-fakta yang sedia ada,” katanya. - Bernama