'Belum sempat tolong, dia tenggelam'

Abu Bakar ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
Abu Bakar ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
A
A
A

CYBERJAYA - Jeritan meminta tolong berkali-kali mengejutkan seorang pekerja pembersihan Taman Tasik Cyberjaya yang sedang berehat di sebuah pondok rehat kira-kira jam 12 tengah hari pada Khamis.

Pekerja terbabit yang dikenali sebagai Supiyani, 38, berkata, dia terdengar suara lelaki meminta tolong sebelum ternampak individu itu dalam keadaan tangan tergapai-gapai di dalam tasik.

Katanya, terkejut dengan jeritan itu, dia kemudiannya meminta bantuan rakan-rakan.

"Seorang rakan lelaki cuba mendapatkan sampan beberapa meter dari tempat mereka tetapi dayungnya berada di dalam stor berkunci. Jadi usaha untuk ke tasik memakan sedikit masa," katanya.

Menurutnya, lelaki itu kemudiannya hilang daripada pandangan mereka.

Supiyani berkata, rakannya berusaha mendayung ke arah lelaki yang meminta tolong itu tetapi mangsa tenggelam sebelum sampan tiba.

"Tidak lama...Belum sempat sampan sampai, dia tenggelam," katanya.

Supiyani yang berasal daripada Lombok, Indonesia mengakui sangat terkejut dengan kejadian tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Sepanjang enam tahun bekerja di sini, tidak pernah berlaku kejadian seperti ini," katanya.

Tambahnya, dia tidak menyedari lelaki berkenaan tiba di taman berkenaan.

"Pagi tadi saya tidak nampak sesiapa berada di sini tidak tahu dari mana dia masuk ke sini," katanya.

Sementara itu, Ketua Zon 5, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Abu Bakar Abd Kadir berkata, lelaki berkenaan dikhuatiri lemas dan kerja-kerja mencari dan menyelamat sedang dilakukan pihaknya dengan bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP KLIA dan Shah Alam.

"Pasukan PPDA menyelam seramai enam orang dengan menggunakan sistem 'buddy' membabitkan kawasan kira-kira 30 meter dari tebing tasik dan kedalaman dianggarkan empat sehingga enam meter," katanya.

Tambahnya, sekiranya mangsa ditemui, JPBM akan menjalankan langkah-langkah disinfeksi selaras prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sewaktu penularan Covid-19.

"Kita ikut SOP dan kemudian menyerahkan kes itu kepada polis," katanya.