Kes dadah tinggi, polis gempur kawasan Felda

Zainudin (empat dari kanan) bertanya sesuatu kepada suspek yang ditahan dalam operasi khas di Felda Jelai, Tampin pada malam Rabu.
Zainudin (empat dari kanan) bertanya sesuatu kepada suspek yang ditahan dalam operasi khas di Felda Jelai, Tampin pada malam Rabu.
A
A
A

TAMPIN - Polis akan melakukan operasi khas bagi membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di kawasan Felda di seluruh negara terutama bagi menangani masalah penagih berulang.

Timbalan Pengarah Narkotik Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Deputi Komisioner Zainudin Ahmad berkata, operasi bersepadu akan dilakukan menerusi JSJN negeri sekiranya maklumat mendapati kes di negeri berkenaan adalah serius.

"Buat pertama kali JSJN Bukit Aman melaksanakan operasi khas dengan JSJN Negeri Sembilan dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin di kawasan Felda Jelai 1 hingga 4 di Gemas, Tampin selepas maklumat mendapati kes dadah di kawasan itu agak tinggi.

"Kita tidak akan berhenti setakat ini saja dan akan terus jalankan operasi sama di kawasan Felda lain sekiranya statistik menunjukkan kes masih tinggi," katanya pada sidang akhbar di Dewan Perumahan IPD Tampin di sini pada Khamis.

Beliau bagaimanapun berkata, masalah dadah di kawasan Felda secara keseluruhan masih dalam keadaan terkawal.

Menurutnya, keluarga memainkan peranan penting untuk mengekang penyalahgunaan dadah dalam kalangan anak-anak dengan tidak menyembunyikan perbuatan mereka.

"Saya juga minta masyarakat Felda supaya tampil memberikan kerjasama menyalurkan maklumat supaya kita dapat mengambil tindakan.

"Kita mahu menyelamatkan generasi Felda, sekali gus mengekang penagih berulang yang banyak di kawasan Felda," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, mengenai operasi di kawasan Felda Jelai pada malam Rabu, beliau berkata, seramai 66 lelaki berusia 19 hingga 68 tahun termasuk tujuh tokan dadah ditangkap dalam operasi berkenaan.

Beliau berkata, polis turut merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM7,762.45 serta wang tunai sebanyak RM1,400.

"Seramai 16 daripada suspek yang ditahan ialah penagih berulang. Tindakan diambil mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952. Jika sabit kesalahan boleh dihukum maksimum lima tahun penjara dan sebatan serta tiada jaminan," katanya.