DBKL terima lebih 38,000 permohonan rumah PA, PPR

Mahadi ketika temu ramah khas bersama Bernama di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Khamis. - Foto Bernama
Mahadi ketika temu ramah khas bersama Bernama di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerima 38,145 permohonan untuk menduduki Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) sehingga Januari lepas.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, permohonan yang melibatkan golongan miskin bandar itu diterima sejak 2009.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 14,412 permohonan telah ditawarkan unit perumahan itu sehingga Mac lepas.

“Kita ambil masa yang lama untuk meluluskan permohonan disebabkan jumlah unit kosong bagi perumahan berkenaan sangat terhad,” katanya kepada Bernama.

Susulan itu, katanya, DBKL telah mengenal pasti beberapa lokasi di ibu negara untuk membina Council Home bagi menampung keperluan golongan tersebut.

“Kita sedang menyiapkan projek pembangunan berkenaan di Sungai Udang, Segambut yang melibatkan pembinaan 1,251 unit, dijangka siap pada September depan. Kita juga akan membina kira-kira 760 unit di Jalan Semilang, Cheras selain menunggu kelulusan bagi projek tersebut di Taman Desa,” katanya.

Beliau berkata, berbeza dengan PA dan PPR, setiap unit Council Home berukuran 700 hingga 750 kaki persegi dan memiliki tiga bilik serta dua bilik air.

“Kadar sewaan di perumahan ini mungkin lebih tinggi berbanding di PA dan PPR namun masih rendah daripada harga pasaran.

Artikel Berkaitan:

“Apa yang penting, kita mahu memberi lebih keselesaan kepada warga kota selain mengatasi masalah penduduk miskin bandar dalam mendapatkan kediaman,” katanya.

Dalam pada itu, Mahadi berkata, DBKL mempunyai 61,806 unit PA dan PPR dengan 37,582 unit disewa dengan kadar sewaan RM94 dan RM124 manakala 24,224 unit lagi telah dibeli.

“Ada sebahagian rumah PPR dan PA ini telah dijual dan pemiliknya dibenarkan untuk menyewakannya kepada orang lain.

“Namun, sekiranya pemilik masih menyewa dengan DBKL, mereka tidak dibenarkan untuk berbuat demikian dan jika didapati bersalah mereka juga boleh hilang kelayakan mendiami rumah tersebut,” katanya. - Bernama