X

Kindly register in order to view this article
!

Zawawi lepas jawatan Pengerusi Kesedar Kilang Sdn Bhd

Zawawi Othman
A
A

PASIR PUTEH - Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Zawawi Othman secara rasminya melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Kesedar Kilang Sdn Bhd, syarikat milik Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) berkuat kuasa serta-merta.

Zawawi yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh mengumumkan perkara itu dalam Majlis Penerangan Isu Semasa di Dewan Kompleks Uthmaniyah, Kampung Pulau Lima, di sini pada malam Rabu.

Beliau berkata, surat rasmi berkaitan peletakan jawatan itu akan diuruskan dalam masa terdekat.

"Saya berharap anggota parti yang masih lagi memegang jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau kepentingan supaya segera berbuat demikian," katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Menurutnya, tindakan itu selari dengan apa yang telah diputuskan oleh parti pada Persidangan Agung UMNO (PAU) 2020 minggu lalu iaitu memutuskan kerjasama dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Pasir Puteh itu dilantik sebagai Pengerusi Kesedar Kilang Sdn Bhd, pada 26 Oktober tahun lepas.

Sebelum ini Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaacob menjadi individu pertama melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Peletakan jawatan Ahli Parlimen Machang itu berkuat kuasa 6 Januari 2021.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!