Hasil zakat tampung kos pengebumian

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kos pengurusan mayat tidak dituntut bagi jenazah orang Islam atau tiada identiti diuruskan dengan menggunakan peruntukan daripada hasil zakat.

Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Dakwah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Ahmad Tarmizi Mahmud berkata, dalam kes tersebut, mayat berkenaan dikategorikan sebagai golongan asnaf dan fakir miskin.

“Sepatutnya pengurusan jenazah itu ditanggung oleh keluarga dan waris si mati. Tetapi apabila kita tidak tahu siapa waris jenazah tersebut, maka kita klasifikasikan ia di bawah kategori asnaf dan fakir miskin,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Ahmad Tarmizi berkata, kos pengurusan mayat tidak dituntut yang diuruskan Jawi dianggarkan kira-kira RM250 bagi setiap kes tidak termasuk upah kepada pihak yang menguruskan.

Beliau berkata, pihak Jawi akan menerima peruntukan tersebut secara tahunan dengan jumlah keseluruhan yang dianggarkan kira-kira RM58,000 daripada hasil zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Tambah beliau, Jawi juga tidak mengambil sebarang upah daripada pengurusan tersebut kerana pihaknya mengambil inisiatif untuk

meminimumkan penggunaan duit zakat dengan cara menggunakan kakitangannya bagi urusan berkenaan.

Menjelaskan mengenai pengurusan mayat yang tidak diketahui status agamanya iaitu jasad yang tiada identiti, Ahmad Tarmizi berkata, tanggungjawab bagi menguruskan kes sedemikian adalah termasuk di bawah tanggungan Jawi.

Artikel Berkaitan:

“Kita merujuk kepada fatwa yang mengatakan sekiranya seseorang si mati itu tidak dikenal pasti identitinya, tetapi dia mati di atas tanah orang Islam, maka ia dihukumkan sebagai Islam.

“Disebabkan itu, kita akan menguruskannya dengan mengikut cara Islam,” katanya.

No Image Caption

Sementara itu, Ketua Penolong Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Ahmad Zaky Md Ali@Tahir memaklumkan Islam membenarkan penyimpanan mayat yang tidak dituntut untuk suatu tempoh yang lama bagi memberikan kemudahan untuk proses perundangan, pengesahan identiti dan pencarian waris.

Beliau berkata, mengikut hukum Islam, ia dibenarkan kerana situasi itu termasuk di bawah perkara darurat.

“Bagi orang awam, hukum menyegerakan pengebumian mayat adalah wajib dan kalau dilewatkan hukumnya akan menjadi makruh.

“Tapi dalam kes pengurusan mayat yang tidak dituntut, ia mempunyai kaitan dengan perundangan iaitu bagi kes melibatkan siasatan polis di samping prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak hospital dalam menguruskan perkara ini.

“Jadi sebab kekangan yang berlaku itu ia telah dihukumkan sebagai darurat.

"Dalam keadaan sedemikian,hukum asal menyegerakan pengebumian tersebut akan bertukar kepada harus ataupun makruh,” katanya ketika kepada Sinar Harian.