Cadang pertemuan wakil rakyat ganti Sidang DUN

Asrul Nizan (kiri) mengecat persekitaran Pangsapuri Seri Sena sempena gotong royong Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (Combi).
Asrul Nizan (kiri) mengecat persekitaran Pangsapuri Seri Sena sempena gotong royong Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (Combi).
A
A
A

KANGAR - Wakil rakyat pembangkang di Perlis mencadangkan satu pertemuan bersama Menteri Besar dan kesemua 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) diadakan bagi menggantikan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak dapat dilaksanakan dalam tempoh darurat.

ADUN Sena, Asrul Nizan Abd Jalil berkata, beliau telah mengutus surat kepada Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man memaklumkan hasrat itu supaya masalah rakyat dapat dibincangkan bersama.

Menurut Naib Pengerusi PKR Perlis itu, pertemuan itu juga membolehkan semua ADUN memperoleh maklumat terkini berhubung pentadbiran negeri khususnya berkaitan penularan Covid-19 di negeri itu.

“Saya harap cadangan tersebut dipertimbangkan untuk membolehkan beberapa perkara dibentangkan kepada kesemua ADUN di negeri ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Asrul Nizan berkata, setakat ini pihaknya mendapat maklum balas positif daripada pejabat Menteri Besar untuk menerima kunjungan beliau bagi memperincikan pertemuan yang dicadangkan itu.

Sebagai wakil rakyat, kita perlu mencari jalan untuk berbincang sebab Sidang DUN tidak dapat diadakan. Kita juga akan memastikan pertemuan itu tidak melanggari prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya.

Menurutnya, banyak perkara perlu dibincangkan antaranya data terkini kerajaan negeri seperti kadar pendaftaran suntikan vaksin Covid-19 yang masih rendah kalangan rakyat.

"Pada kunjungan itu, saya akan bawa memorandum cadangan mekanisme untuk pertimbangan Azlan bagi membolehkan sesi pertemuan diadakan kalangan wakil rakyat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Asrul Nizan berharap perbezaan fahaman politik dan parti tidak menjadi penghalang kerana pertemuan itu kelak untuk kebaikan rakyat.

“Kita tidak boleh sepanjang masa asyik berpolitik, perlu ada ruang wakil rakyat menyuarakan pandangan untuk kebaikan negeri supaya ekonomi stabil dan rakyat sejahtera. Masing-masing harus memainkan peranan supaya urus tadbir negeri mengikut landasan betul,” katanya.

Menurutnya, peranan ‘semak dan imbang’ itu perlu antara kerajaan negeri dan pembangkang walaupun persidangan DUN Perlis sentiasa harmoni tanpa sebarang provokasi.

“Apa jua keputusan kelak, saya serahkan pada kebijaksanaan Azlan untuk pertimbangkan perkara ini,” katanya.

Pada 14 Mac lalu, Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Datuk Asmuni Awi turut mencadangkan persidangan antara ADUN diadakan menggantikan Sidang DUN yang tidak boleh dilaksanakan dalam tempoh darurat.

Katanya, persidangan yang dicadangkan itu sama seperti Sidang DUN namun tidak mengguna pakai aturan rasmi Sidang DUN.