Keputusan menteri UMNO tindakan bijak: Pemuda Pas

Khairil Nizam Khirudin, Ahmad Fadhli Shaari
Khairil Nizam Khirudin, Ahmad Fadhli Shaari
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Pas menyifatkan keputusan menteri daripada UMNO untuk terus kekal berada dalam Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersesuaian dengan keadaan semasa negara.

Ketuanya, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, tumpuan utama kerajaan ketika ini untuk memerangi Covid-19, melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan memulihkan ekonomi negara.

"Sehubungan itu menteri-menteri daripada UMNO membuat tindakan bijak apabila mendengar cadangan dan nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (kekal dalam Kabinet)," katanya yang juga Ahli Dewan Negara pada Rabu.

Sementara itu, Timbalannya, Ahmad Fadhli Shaari yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas menyifatkan perkembangan itu memberi gambaran bahawa Perdana Menteri berjaya merungkai kekusutan yang berlaku dalam kerajaan PN ketika ini.

"Tahniah juga atas kematangan ahli-ahli Kabinet dari UMNO," katanya dalam kenyataan di laman Facebooknya pada Rabu dan mengakhiri catatan itu dengan tanda pagar #berkhidmat untuk rakyat.

Pada Rabu, Perdana Menteri berkata, seramai 14 menteri UMNO mencapai persepakatan untuk terus kekal berada dalam Kabinet kerajaan PN dan persepakatan itu dicapai dalam pertemuan bersama menteri UMNO pada Isnin lalu.

Muhyiddin berkata, dalam senarai Kabinet, terdapat beberapa orang menteri UMNO memegang portfolio penting yang berkaitan dengan fokus utama kerajaan.

Justeru, beliau tidak mahu peletakan jawatan mereka menjejaskan segala perancangan Kerajaan untuk mengatasi masalah Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Muhyiddin memberi jaminan Kabinet akan berfungsi seperti biasa dan segala inisiatif kerajaan akan terus dilaksanakan seperti dirancang.

Pada Ahad lalu, Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020) meluluskan usul supaya tiada kerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan kebersamaan dalam kerajaan PN diteruskan hingga pembubaran Parlimen.

Ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu diluluskan sebulat suara.