X

Kindly register in order to view this article
!

Tidak serik-serik bawa anak ke pantai

Gambar hiasan.
A
A

SEKURANG-kurangnya lapan tragedi mati lemas berlaku di negara ini sepanjang 10 hari lalu sekali gus mengundang kebimbangan kemungkinan lebih banyak insiden serupa terjadi jika tiada langkah pencegahan diambil.

Selain kejadian terbaru melibatkan seorang lelaki pengantin baharu lemas semasa berenang di Tasik Kenyir Sabtu lalu, dua peristiwa kanak-kanak lemas adalah lebih membimbangkan.

Ini termasuk kes seorang kanak-kanak perempuan maut selepas dihanyutkan arus deras semasa mandi di Sungai Mas, Sungai Lembing, Pahang pada 20 Mac lalu.

Satu lagi kejadian adalah di Pulau Kambing, Pantai Kandis, Bachok, Kelantan, Ahad lalu apabila dua lelaki terkorban semasa ingin menyelamatkan seorang budak 12 tahun yang dihanyutkan ombak. Kanak-kanak itu bagaimanapun selamat.

Kedua-dua insiden malang ini berlaku sewaktu perkelahan keluarga.

Memanglah malang tidak berbau tetapi peristiwa lemas sebegini boleh dijauhi andai ibu bapa mengelak daripada membawa anak-anak ke sungai dan pantai ketika keadaan cuaca tidak menentu akibat peralihan monsun sekarang.

Kadar kematian disebabkan kes lemas di negara ini empat kali ganda lebih tinggi berbanding kadar kematian melibatkan mangsa kebakaran.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, pada tahun 2019 sahaja, sebanyak 300 kes lemas direkodkan melibatkan 232 kematian berbanding 121 kematian mangsa kebakaran.

Kes lemas di kawasan sungai, pantai dan air terjun iaitu tempat popular untuk perkelahan keluarga, menunjukkan bilangan tertinggi.

Justeru, orang ramai harus cakna termasuk mengambil peduli maklumat ramalan cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum merancang aktiviti riadah air.

Malangnya, segelintir ibu bapa di negara ini bagaikan tidak serik-serik membawa anak kecil ke sungai, laut dan tasik.

Meskipun sudah berkali-kali menyaksikan tragedi mati lemas di depan mata atau dalam akhbar, bagi mereka dukanya hanya seketika.

Membawa anak-anak mandi pantai ketika laut bergelora ibarat sengaja menempah maut. Kalau sudah terkena batang hidung sendiri, menangis air mata darah pun tidak berguna lagi.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!